PRK Port Dickson 13 Oktober

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P132 Port Dickson diadakan pada 13 Oktober depan.

Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood, berkata hari penamaan calon ditetapkan pada 29 September dan hari mengundi awal pula pada 9 Oktober.

“Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah 14 hari bermula pada hari penamaan calon sehingga jam 11.59 malam 12 Oktober.

“SPR menerima pandangan pelbagai pihak dan merasakan tempoh 14 hari adalah sesuai untuk berkempen,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.

Beliau berkata, SPR bersetuju melantik Khairy Maamor sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan SPR akan menggunakan Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson sebagai pusat penamaan calon dan penjumlahan rasmi undi.

Katanya, seramai 1,403 petugas pilihan raya dilantik bagi melancarkan PRK itu dan 39 premis digunakan sebagai pusat mengundi membabitkan keseluruhan 171 saluran mengundi.

“Seramai 75,770 pemilih berdaftar layak mengundi, iaitu mengikut daftar pemilih sehingga suku kedua 2018 yang dikemas kini sehingga 11 September lalu,” katanya.

Othman berkata, kos mengendalikan PRK Parlimen Port Dickson berjumlah RM3.6 juta.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.