Lelaki parah ditetak ketika tidur

Spread the love

KLUANG – Seorang lelaki di Kampung Siam, Layang-Layang, di sini, cedera parah di bahagian kepala dan badan selepas ditetak dua lelaki yang tidak dikenali, semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, ketika kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa yang berumur 48 tahun sedang tidur bersama isterinya.

“Sewaktu mangsa dan isterinya sedang tidur, datang dua lelaki yang tidak dikenali bersenjatakan parang terus menetak mangsa beberapa kali di bahagian kepala dan badan.

“Setelah isteri mangsa menjerit, suspek kemudian melarikan diri melalui pintu belakang rumahnya sebelum memaklumkan kejadian tersebut kepada abang iparnya yang terus memaklumkan kepada polis,” katanya.

Menurutnya, mangsa cedera parah termasuk retak tengkorak kepala dan patah pada bahagian bahu kiri dan kanan kemudian dibawa ke Hospital Enche Besar Hajah Kalsom Kluang (HEBHKK) untuk mendapatkan rawatan.

“Bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang membuat tangkapan kira-kira jam 1 petang, semalam.

“Dua lelaki berumur 29 dan 30 tahun itu ditahan di hadapan sebuah premis perniagaan di Jalan Bunga Raya 1, Pekan Baru, Layang-Layang untuk membantu siasatan dan semakan awal kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan mereka bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah,” katanya.

Menurutnya, menerusi tangkapan itu, pihaknya berjaya merampas sebilah parang berhulu berukuran kira-kira 0.7 meter panjang dan dua helai baju-T yang dipercayai diguna dan dipakai suspek ketika kejadian.

“Kita percaya tangkapan kedua-dua suspek ini berjaya menyelesaikan kes tersebut kurang daripada 24 jam selepas kejadian.

“Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan tertuduh boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/jenayah/lelaki-parah-ditetak-ketika-tidur-1.887003

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.