Permohonan Mamu Parpu didengar minggu depan

Spread the love

GEORGETOWN – Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menetapkan 12 Oktober ini untuk mendengar permohonan mengkaji semula terhadap pembebasan bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon berhubung kes rasuah.

Tarikh itu ditetapkan Hakim, Datuk Hadhariah Syed Ismail selepas pemohon, Muhsin Abdul Latheef meminta penangguhan berikutan peguamnya, J Gunamalar tidak dapat hadir pada hari ini.

Muhsin, yang dikenali dengan nama media sosialnya, Mamu Parpu memfailkan permohonan untuk mengkaji semula keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang membebaskan Guan Eng dan Li Koon daripada tuduhan rasuah.

Dia memfailkan permohonan itu pada 19 September lalu dan menamakan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud sebagai responden pertama, Guan Eng dan Li Koon sebagai responden kedua dan ketiga.

Dalam permohonannya, Muhsin meminta mahkamah menukarkan keputusan daripada dibebaskan dan dilepaskan kepada dilepaskan tanpa dibebaskan.

Permohonan itu dibuat berdasarkan dakwaan bahawa Guan Eng mempunyai hubungan baik dengan Peguam Negara iaitu atas dasar kepentingan.

Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, Muhsin berkata, dia sedang mengumpul dana untuk menampung kos permohonan tersebut.

“Saya membuat rayuan di media sosial untuk meminta derma kerana saya memerlukan sekurang-kurangnya RM20,000 untuk menampung kos kes ini.

“Saya mahu permohonan ini dijalankan oleh mahkamah kerana saya mahukan keadilan dalam kes ini,” katanya.

3 September lalu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang melepas dan membebaskan Guan Eng daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot tanah dan banglo serta Li Koon, daripada dakwaan bersubahat

http://www.sinarharian.com.my/mahkamah/permohonan-mamu-parpu-didengar-minggu-depan-1.886988

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.