AMANAH, UMNO, PAS kongsi pentas agama

Spread the love

MELAKA: Program Diskusi Ilmiah sempena sambutan Maal Hijrah 1440H peringkat negeri menonjolkan keunikan tersendiri apabila berjaya ‘menyatukan’ tiga tokoh agama dari parti politik berbeza yang berkongsi pentas di Auditorium Masjid Al-Azim, Bukit Palah, di sini, hari ini.

Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH), Hasanuddin Mohd Yunus; Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berjaya mengetepikan perbezaan politik masing-masing untuk bersama mencari titik persamaan dalam memperkasakan syiar Islam di negara ini.

Program bertemakan ‘Islam: Rahmatan Lil Alamin’ (Rahmat Untuk Semua) itu berjaya mencuit hati kira-kira 1,000 peserta program apabila sesekali bab politik ‘diusik’ oleh moderator, Zolkarnain Abidin.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Adly Zahari dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Omar Jaafar.

Hasanuddin berkata, kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) berjanji untuk terus memperkasakan Islam, melindungi hak dan keistimewaan Raja-Raja Melayu, selain terus memelihara hubungan antara kaum yang sedia akrab terjalin di negara ini.

“Malah, walaupun PH baharu memerintah 9 Mei lalu, perkara yang baik daripada kerajaan terdahulu akan tetap kita teruskan demi kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.

“Ia termasuklah memperkasa Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dalam struktur Kementerian Pendidikan, selain akan menyerap guru KAFA ke jawatan tetap,” katanya.

Mohd Zuhdi berkata, sudah tiba masanya semua pemimpin politik Melayu Islam bergabung dengan mengetepikan isu politik dalam usaha membela nasib bangsa, terutama berkaitan penyalahgunaan dadah dan isu gejala sosial.

“Dalam pada kita sibuk menyentuh isu kahwin bawah umur, tidakkah kita memikirkan juga isu golongan berzina bawah umur. Sebab itu, penyatuan umat adalah penting bagi mencari titik persamaan dalam pelbagai isu yang melanda umat hari ini,” katanya.

Sementara itu, Asyraf pula berkata sikap toleransi beragama yang bertunjangkan Islam di negara ini membolehkan rakyat terus hidup dalam keadaan harmoni tanpa sesekali menghalang mana-mana rakyat menganut kepercayaan agama masing-masing.

“Sebab itu kita boleh lihat adanya binaan patung terbesar untuk penganut Hindu di Batu Caves. Di kampung halaman saya, Kelantan yang dinamakan ‘Serambi Makkah’, siapa sangka memiliki tiga binaan Buddha antara yang terbesar di Asia,” katanya.

Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.