Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah berkata sekiranya ahli perniagaan yang berasal dari Pulau Pinang itu berbuat demikian ia akan memberi peluang pasukan pembelaan untuk menyoal balas ketika perbicaraan nanti.

Pada masa sama ia juga akan memudahkan pihak pendakwaan turut menyoal Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho, 36.

“Saya harap sangat Jho Low akan menyerah diri kerana terdapat banyak dokumen yang berkaitan bagaimanapun tiada sesiapa yang boleh membuktikannya.

“Sekiranya Jho Low berada di negara ini, dia tiada pilihan lain selain menjadi saksi dan saya ingin menyoal balasnya,” katanya kepada pemberita selepas selesai prosiding bagi sebutan semula kes Najib di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini sebentar tadi.

Terdahulu Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali menetapkan 31 Oktober ini bagi sebutan dan pengurusan kes seterunya.

Pada 4 Julai lalu Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan  jawatannya, berhubung dana SRC International Sdn Bhd. berjumlah RM42 juta.

Mengikut pertuduhan pertama Perdana Menteri keenam itu didakwa sebagai seorang penjawat awam dan ejen, iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, Advisor Emeritus SRC International Sdn Bhd (SRC) dan dalam kapasiti tersebut diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM27 juta.

Najib dituduh melakukan perbuatan tersebut di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan, di sini antara 24 Disember 2014 dan 29 Disember 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Najib didakwa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM5 juta di tempat dan tarikh sama.

Pertuduhan ketiga, Najib didakwa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang berjumlah RM10 juta di tempat sama antara 10 Februari 2015 dan 2 Mac 2015, mengikut seksyen serupa.

Pertuduhan keempat, Najib didakwa sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, telah menggunakan jawatan untuk suapan bagi dirinya berjumlah RM42 juta apabila dia telah mengambil bahagian atau terlibat dalam keputusan bagi pihak kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman-pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC International Sdn Bhd.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Presint 1, Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 17 Ogos 2011 dan 8 Februari 2012.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 8 Ogos lalu, Najib turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada aktiviti haram milik dana SRC International Sdn Bhd, dalam dua akaun miliknya, empat tahun lepas.

Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, Najib didakwa menerima wang masing-masing berjumlah RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, melalui Real Time Electronic Transfer of Funds and Securities (“Rentas”) dalam dua akaun AmIslamic Bank Berhad miliknya.

Beliau dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan AmBank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan di sini antara 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – K! ONLINE