Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kinabatangan, Naim Mokhtar berkata, walaupun kos untuk menjana elektrik daripada sumber arang batu adalah lebih rendah namun kesan negatif yang terpaksa ditanggung oleh rakyat Sabah dan alam sekitar adalah jauh lebih tinggi, apatah lagi pada masa ini seluruh dunia sedang menhadapi krisis perubahan iklim.

“Saya meminta Kerajaan Negeri pertimbangkan semula dan mengkaji alternatif lain.

“Arang batu sudah lama digunakan sebagai sumber untuk menjana elektrik bagi keperluan rakyat di Malaysia secara umumnya. Mengikut data yang diperoleh daripada Tenaga Nasional, pada tahun 2007 arang batu mewakili 27 peratus daripada sumber penjanaan elektrik dan pada tahun 2017 mewakili 53 peratus.

Katanya, ini menunjukkan kebergantungan pada arang batu meningkat secara mendadak. Namun, ini bukanlah satu pencapaian yang boleh dibanggakan.

“Sikap Ketua Menteri. Datuk Seri Shafie Apdal yang seakan-akan ingin menambah jumlah loji kuasa arang batu yang merupakan sumber kuasa tidak boleh diperbaharui tidak mencerminkan kebertanggungjawaban terhadap alam sekitar dan rakyat negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malah katanya, semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional, cadangan membina loji kuasa arang batu di Pantai Timur Sabah mendapat tentangan hebat kerana pelaksanaannya akan memberi kesan buruk kepada alam sekitar.

“Saya mencadangkan kerajaan negeri bersama kerajaan pusat untuk mengalih fokus kepada menjana elektrik menggunakan tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga solar dan biomass,” katanya.

Menurut beliau, kemajuan dari segi teknologi telah membolehkan elektrik dijana tanpa memberi kesan yang besar kepada alam sekitar dengan kos yang lebih rendah.

“Dengan mengalih pelaburan ke sumber boleh diperbaharui, pelbagai masalah kritikal dapat ditangani seperti solusi penjanaan kuasa jangka panjang, peluang pekerjaan yang bermutu – “high skilled jobs” dapat dicipta, merangsangkan ekonomi negara secara langsung dan yang paling penting mengurangkan risiko kesan negatif terhadap alam sekitar,” katanya. – UTUSAN ONLINE