Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki risau situasi itu boleh berlaku memandangkan syarikat milik Khazanah, SilTerra Malaysia Sdn. Bhd. (SilTerra) yang dinamakan untuk menjadi rakan kongsi swasta bagi projek berkenaan, didakwa mempu­nyai rekod yang kurang memberangsangkan dengan jumlah kerugian terkumpul mencecah RM7.3 bilion.

Malah dakwa beliau, Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua daripada DAP sendiri pernah satu ketika dahulu mempertikaikan kemampuan SilTerra dengan menyifatkannya sebagai pelaburan yang gagal.

“Bagaimana NNCP memperoleh pembiayaan bagi memulakan operasi dan mengeluarkan kereta bagi tujuan komersial? Adakah SilTerra mempunyai dana yang mencukupi bagi memulakannya?

“Ingin bertanya adakah Khazanah akan menerbitkan hutang baharu daripada pasaran modal bagi pembiayaan projek NNCP melalui jaminan kerajaan,” katanya dalam satu kenya­taan di sini hari ini.

Asyraf Wajdi berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak cuba memperbodohkan rakyat selain mendesak menyatakan de­ngan jelas apakah model pembiayaan projek NNCP tersebut.

“Kita tidak mahu melihat akhirnya kerajaan terpaksa menggunakan dana rakyat bagi menjadi penjamin segala hutang baharu yang diwujudkan sekali gus meningkatkan tanggungan yang merupakan sebahagian daripada momokan hutang RM1 trilion yang kerajaan bersungguh-sungguh mengurangkannya,” kata beliau.