Pemangku Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Mohd. Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang menjumpai bayi yang dibalut dengan kain itu kira-kira pukul 4.13 pagi.

“Terdapat kesan kecederaan di kaki dan lutut bayi itu dipercayai digigit anjing. Bayi dipercayai berumur beberapa hari dan bangsanya belum lagi dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, bayi berkenaan dihantar ke Hospital Serdang dan ditempatkan di wad penjagaan intensif untuk bayi (NICU) hospital berkenaan dan keadaannya stabil.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung perkara berkenaan diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang bagi membantu siasatan. – Bernama