Beliau berkata, kerajaan akan mengeluarkan perbelanjaan dalam bidang keutamaan, terutamanya apabila ia membawa kepada pertumbuhan jangka panjang yang mampan yang dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Katanya, Malaysia tidak hanya menerapkan pengukuhan fiskal, berikutan pengukuhan yang terlalu cepat boleh menjejaskan pertumbuhan.

“Kita perlu menerapkan kepelbagaian ekonomi. Pengukuhan fiskal adalah langkah ke arah kemampanan fiskal. Bagaimanapun, kemampanan memerlukan tahap pertumbuhan ekonomi yang munasabah,” katanya dalam ucapan pada Khazanah Megatrends Forum 2018 di sini hari ini.

Dalam jangka masa pendek, Guan Eng berkata, Malaysia perlu mengukuhkan kedudukan fiskalnya untuk menangani lebihan perbelanjaan daripada kerajaan terdahulu yang membawa kepada RM1.09 trilion nilai hutang dan liabiliti kerajaan atau 80.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Beliau percaya sektor korporat mempunyai peranan penting untuk membantu memastikan ekonomi berterusan dan mempunyai kapasiti berhubung lembaran imbangannya untuk melabur dan meneruskan pertumbuhan berikutan hutang korporat Malaysia sekurang-kurangnya dalam kalangan syarikat yang tersenarai hanya 20 peratus daripada KDNK.

Walaupun terdapat halangan di peringkat global, Guan Eng memberi jaminan bahawa Malaysia tidak akan mengalami defisit berkembar, berdasarkan asas ekonomi yang kukuh dan akaun semasa, yang dijangka terus mencatat lebihan pada tahun ini.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai lebihan akaun semasa sebanyak tiga peratus daripada KDNK pada tahun lepas manakala pada separuh pertama tahun ini, baki sebanyak 2.7 peratus daripada KDNK atau RM18.9 bilion. – Bernama