Che Ta yang cerewet


ADA beberapa kriteria yang menjadi asas pertimbangan buat pelakon jelita ini sebelum menerima tawaran sesuatu watak tidak kira sebagai pendukung utama mahupun sekadar pembantu.

Selain mengutamakan produksi, masa di lokasi penggambaran juga menjadi ukuran buat Rozita Che Wan yang mesra dipanggil Che Ta untuk menentukan sama ada sesuatu tawaran itu bersesuaian dengan kehendaknya.

Malah tegasnya, kalau ditawar watak pembantu sekalipun dia akan menerimanya dengan senang hati jika datangnya daripada pihak produksi yang dia selesa dan tahu dengan cara kerja masing-masing.

“Tak kisahlah watak santai dan ringan sekalipun, saya terima asalkan saya berlakon dengan produksi yang dikenali,” katanya yang mengakui menerima tawaran drama Lelaki Kiriman Tuhan sebab produksi Zeel Productions dan pengarah Rashid Sibir. Dia selesa dengan cara kerja mereka.

Akui Che Ta, dia juga tidak gemar terikat dengan jadul penggambaran yang terlalu lama kerana tidak mahu berjauhan dengan keluarga selain perlu menguruskan perniagaannya.

“Saya senang jika menerima awal sesuatu tawaran agar saya senang atur jadual kerja dengan sebaik-baiknya. Adakalanya jika penggambaran tidak lama, saya bawa anak dan pembantu rumah,” katanya yang kali terakhir berlakon setahun lalu.

Che Ta memberitahu, dia juga tidak mempunyai masalah mendapat kebenaran suaminya, Zain Saidin asalkan dia boleh mengurus rumah tangga dengan baik, malah dia sendiri tidak menghalang suaminya untuk terus menceburi bidang seni.

“Cuma nampaknya ketika ini, dia saja tak berminat kerana masih belum mendapat watak idaman. Zain sukakan watak gengster. Dia juga baru sahaja selesai penggambaran telefilem dengan Michael Ang kerana watak yang ditawar kena dengan cita rasanya,” katanya.

Bagaimanapun kata Che Ta, suaminya itu tidak mengizinkan anak mereka, Aisyah Dhia Rana untuk menceburi lakonan buat masa ini biarpun sudah beberapa kali mendapat tawaran.

Taja tukang masak bercuti

SETIAP kali Che Ta dan ahli keluarga bercuti di luar negara, pasti khalayak menanti-nantikan perkongsian gambarnya dalam laman Instagram.

Tidak dinafikan, foto-foto cantik yang dikongsi itu adalah hasil bidikan jurugambar profesional yang dibawa khas oleh Che Ta setiap kali bercuti.

Tidak berniat untuk menunjuk-nunjuk atau berlagak riak, Che Ta hanya mahu berkongsi pengalamannya di luar negara dengan peminat.

“Sebenarnya bila ada jurufoto khas begini, kerja kita senang. Gambar pun cantik. Selain itu, kita juga boleh berkongsi rezeki sebab selain bekerja, mereka pun boleh bercuti sama.

“Sekarang ini saya bukan setakat bawa jurufoto tapi juga tukang masak. Sebab saya pergi bercuti nak berseronok-seronok. Takkan tiba-tiba nak bergelut di dapur pula.

“Lagipun kalau saya bercuti bukan dengan keluarga saja tapi juga adik beradik yang lain. Jadi kalau ada tukang masak lebih mudahlah,” katanya.

Mula membawa tukang masak ketika bercuti sejak tiga tahun lalu, perkara itu juga memudahkan dirinya menyediakan makanan halal setiap kali berada di luar negara.

“Saya jenis suka makan nasi jadi apabila ada tukang masak, taklah kelaparan. Bagi saya, kalau membawa tukang masak itu memudahkan percutian saya dan turut memberi rezeki kepada orang lain, apa salahnya?” jelasnya.

Tak kisah dikecam

MELAKONKAN watak Kak Bet dalam drama bersiri Lelaki Kiriman Tuhan, Che Ta mengakui, tidak kisah jika lakonannya mendapat kecaman penonton.

Melakonkan watak antagonis, Kak Bet lakonannya itu bukan setakat menjalin hubungan dengan suami orang tapi juga seorang pendendam.

“Memang watak itu sekadar watak pembantu tapi dalam setiap episod akan ada wajah saya. Kemunculan Kak Bet tak banyak, tapi penampilannya itu akan membuatkan orang marah sebab kata-katanya pedas.

“Untuk setiap episod, akan ada adegan saya dengan PU Azman. Setiap persoalan ada jawapan pada penghujung drama,” jelasnya tentang drama yang diadaptasi daripada novel tulisan Umie Nadzimah yang dilakonkan oleh Remy Ishak dan Mira Filzah itu.

Mengakui cabaran melakonkan watak wanita yang mempunyai skandal dengan suami orang, Che Ta pasti ada penonton yang akan naik angin dengan karakter Kak Bet .

“Sebelum ini saya pernah melakonkan watak begini dan memang saya teruk kena kecam. Rakyat Malaysia ini biasalah… jangan ambil laki orang, memang teruk kena (kecam). Kalau makan duit haram atau bunuh orang tak apa lagi, jangan ambil laki orang. Itu kesalahan besar,” katanya bergurau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.