Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini berkata, keputusan itu diambil selepas pihaknya mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan.

“Pihak berkepentingan itu ialah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa, guru-guru, murid; pihak pentadbir sekolah; pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pembekal kasut berwarna hitam.

“Untuk pelaksanaannya, kementerian juga bersetuju agar pemakaian kasut berwarna hitam dilaksanakan secara beransur-ansur bermula sesi persekolahan 2019 dan diperluaskan penggunaan pada 2020,” jelas kementerian itu dalam satu kenyataan.

Menurut kementerian itu, dalam tempoh transisi tersebut, murid dan pelajar masih dibenarkan untuk memakai kasut berwarna putih.

“Dalam tempoh transisi ini juga, pihak sekolah diminta untuk tidak mengadakan peraturan atau memaksa murid dan pelajar memakai kasut berwarna hitam.

“Ibu bapa dan penjaga juga dinasihatkan agar tidak tergesa-gesa menyediakan anak-anak mereka kasut berwarna hitam kerana mereka masih boleh membuat pilihan sehingga 2020,” katanya. – K! ONLINE