Penahanan suspek berusia 30 tahun pukul 1.15 pagi itu dilakukan menerusi Ops Rapid Selangor selepas aksi jenayahnya dirakam oleh televisyen litar tertutup (CCTV) di bas berkenaan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kejadian dikatakan berlaku pukul 9 malam pada Ahad lalu apabila mangsa berusia 30-an tertinggal beg tangannya di bas itu.

Katanya, suspek yang memakai baju Melayu ketika itu duduk barisan belakang bas telah bertindak mencuri beg tangan mangsa.

Difahamkan mangsa sering menggunakan perkhidmatan bas secara percuma itu untuk ke tempat kerja dan pulang rumah di sekitar Seksyen 20 di sini.

“Hasil CCTV itu, polis kemudiannya berjaya menahan suspek di rumahnya dan merampas pelbagai barangan curi seperti seutas gelang tangan dan jam tangan jenama G-Shock dan sebuah telefon bimbit jenama Asus.

“Soal-siasat terhadap suspek seterusnya membawa ke sebuah pekarangan rumah di kawasan berdekatan dengan menemui kesemua barangan milik mangsa termasuk lima keping kad debit pelbagai bank, sekeping kad Peduli Sihat, kad pengenalan mangsa dan tiga orang anaknya,” katanya di sini hari ini.

Jelas beliau, siasatan lanjut mendapati suspek mengaku melakukan jenayah tersebut selain semakan rekod mendapati suspek mempunyai dua jenayah lampau berkaitan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE