Hasil kerajaan bagi 2018 berkurang berikutan pelaksanaan SST

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan mendedahkan bahawa hasil kerajaan berkurang sebanyak RM21 bilion bagi 2018 apabila ia melaksanakan kembali sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 September lalu bagi menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, anggaran kutipan SST bagi tahun ini untuk tempoh September sehingga Disember 2018 adalah sebanyak RM4 bilion.

“Oleh sebab itu, kehilangan hasil cukai berasaskan kepenggunaan bersih adalah berjumlah RM17 bilion bagi 2018,” katanya di sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Guan Eng menjawab soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) mengenai jumlah pengurangan hasil pendapatan kerajaan apabila GST dihapuskan serta strategi kerajaan untuk menampung semula kekurangan hasil pendapatan tersebut.

Beliau berkata, sebahagian daripada pengurangan kutipan GST tersebut akan diimbangi oleh tambahan hasil berkaitan petroleum yang dijangka berjumlah RM5.4 bilion berikutan peningkatan harga minyak mentah purata kepada A$70 setong (Brent) berbanding andaian AS$52 setong yang diguna pakai dalam Bajet 2018.

Selain itu, beliau berkata, terdapatnya tambahan dividen dianggar sebanyak RM5 bilion daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk Petronas dan Khazanah Nasional Bhd.

“Tambahan dividen ini adalah sekali selaras dengan peningkatan harga minyak mentah dunia pada tahun 2018 berbanding andaian yang digunakan dalam Bajet 2018,” kata Guan Eng.

Meskipun harga minyak mentah dunia berada di sekitar AS$70 setong, Guan Eng berkata, peratusan hasil berkaitan petroleum kepada keluaran dalam negara kasar hanya di sekitar 3.3 peratus berbanding 9.2 peratus pada tahun 2009 di mana pada tahun tersebut harga minyak mentah dunia adalah AS$62 setong.

“Ini menunjukkan bahawa kerajaan telah mengurangkan kebergantungan kepada hasil berkaitan petroleum,” kata beliau.

Di samping itu, Guan Eng berkata, antara langkah-langkah lain bagi meningkatkan hasil kerajaan Persekutuan adalah menerusi aktiviti audit dan siasatan yang berterusan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi meningkatkan pematuhan cukai dan mengurangkan jurang cukai.

Kerajaan juga akan meneroka sumber hasil baharu terutama daripada aktiviti transaksi atas talian dan menyemak semula insentif cukai bagi memastikan impak minimum kepada pengurangan hasil namun menjana aktiviti ekonomi.

“Kerajaan turut melaksanakan langkah rasionalisasi perbelanjaan dengan menyusun semula keutamaan perbelanjaan serta mengkaji, menangguh dan merunding semula projek-projek berkos tinggi.

“Selain itu, kerajaan turut merasionalisasikan fungsi jabatan, program dan projek bagi mengelak pertindihan serta meningkatkan tadbir urus perolehan supaya lebih cekap dan telus,” kata Guan Eng.

Guan Eng berkata, langkah itu dijangka memberi penjimatan keseluruhan perbelanjaan sebanyak RM10 bilion. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.