Tidak tetap tempoh masa peralihan kuasa – Anwar

Spread the love

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak menetapkan sebarang tempoh masa khusus kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melakukan proses peralihan kuasa kepadanya menjadi Perdana Menteri kelapan.

Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) yang baru mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Port Dickson di Dewan Rakyat hari ini berkata, beliau tetap dengan pendiriannya sebelum ini tidak akan memaksa Perdana Menteri untuk menyerahkan kuasa kepadanya dalam tempoh terdekat.

Malah Anwar beliau juga cukup insaf yang peranan beliau yang penting ketika ini ialah memastikan kerajaan yang wujud hari ini stabil di bawa kepemimpinan Dr Mahathir.

“Biar beliau (Dr Mahathir) tahu dan saya jelaskan semula, rancangan itu (peralihan kuasa) tidak akan diganggu oleh tempoh masa atau tekanan.

“Ini penting kerana ada beberapa keputusan dibuat Dr Mahathir dan Kabinet adalah keputusan dasar yang penting. Dasar dan keputusan dibuat kerajaan terdahulu perlu dikaji semula dan ia memerlukan sokongan penuh PH, ia termasuk saya.

“Tadi sebelum mengangkat sumpah saya sempat memaklumkan kepada Dr Mahathir yang tugas saya ialah pastikan kerajaan ini stabil dan kukuh di bawah pimpinannya,” katanya pada sidang media pertamanya di Parlimen selepas mengangkat sumpah, hari ini.

Anwar yang juga Ketua Umum PKR dan memenangi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Sabtu lalu turut menegaskan beliau juga tidak berhasrat untuk menyertai Kabinet Dr Mahathir dalam tempoh terdekat.

“Tidak. Saya tetap dengan pendirian awal tidak akan merebut jawatan. Saya gembira dengan kedudukan ini (sebagai Ahli Parlimen).

“Saya juga lebih selesa menjadi penyokong kepada kerajaan, bukan ketua whip. Saya akan beri sokongan penuh dan memberi sumbangan menerusi Parlimen dan reformasi Parlimen.

“Saya juga tetap akan berhubung rapat dengan semua menteri dan Ahli Parlimen sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.