Kelab kendalian Tengku Hazman Raja Hassan mengatasi UKM 2-0 pada aksi final kedua Piala Cabaran di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini.

Pada aksi final pertama Piala Cabaran di Stadium Shah Alam pada 8 Oktober lalu, kedua-dua kelab tersebut terikat 2-2.

Kejayaan merangkul Piala Cabaran membolehkan TFC II meraih ganjaran wang tunai RM250,000 dan medal manakala sebagai naib juara pula UKM FC menerima hadiah wang tunai RM75,000.

Hadiah disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Penyerang import TFC II, Akanni Sunday Wasiu muncul wira apabila meledak dua gol yang kesemuanya merupakan hantar pemain tengah warga Haiti, Andrew Anderson Jean-Baptisme.

Gol pertama terhasil selepas Sunday Wasiu bijak menanduk masuk hantaran silang Anderson Jean-Baptisme pada  minit ke-22.

Pemain kelahiran Nigeria itu sekali lagi memanfaatkan hantaran Jean-Baptisme  apabila rembatan di dalam kotak penalti berjaya menewaskan penjaga gol UKM FC, Muhamad Nor Haziq Mohd. Aris buat kali kedua pada minit ke-53.

Terdahulu, UKM FC hampir memperoleh gol saguhati pada minit ke-30 namun sepakan lencong pemain pertahanan, Wan Mohammed Afiq Wan Mohamed Kasbi berjaya ditangkap kemas penjaga gol tuan rumah, Mohd. Shamirza Yusoff.

Piala Cabaran julung dianjurkan pada tahun ini disertai lapan pasukan Liga Super dan Liga Premier yang gagal melayakkan diri ke saingan Piala Malaysia. – K! ONLINE