Messi pun tak boleh di United – Scholes


LONDON: Paul Scholes menegaskan Lionel Messi juga pasti bergelut untuk menyinar bersama Manchester United ketika ini dan kelab bermasalah itu sedang menjadi bahan jenaka oleh pencabarnya.

Bekas pemain tengah United dan England itu menjadi antara individu paling lantang mengkritik kelab lamanya, yang ketika ini menghuni tangga kelapan Liga Perdana Inggeris dan ketinggalan lima mata daripada kelompok ‘enam terbesar.’

United terpaksa menyaksikan seteru tetangganya, Manchester City menjulang kejuaraan musim lalu dengan penuh bergaya serta memecahkan rekod dan ketika ini skuad kendalian Pep Guardiola itu sekali lagi menghuni tangga teratas bersama Liverpool dan bekas kelab pengurus United, Jose Mourinho, Chelsea.

“Ia tidak memberi sebarang perbezaan,” kata Scholes kepada ESPN. “United ketika ini sama seperti Liverpool beberapa tahun lalu, seperti kami melakukan kesilapan yang sama seperti mereka lakukan.

“Kami memerhatikan Liverpool dan City dari jauh dan tersenyum sinis ketika mereka menggantikan pengurus dan pemain setiap tahun, tidak pernah melakukan perkara yang betul.

“Rasanya kami sudah berubah menjadi Liverpool dan Man City satu ketika dulu. Saya berasakan orang di Liverpool dan Man City ketika ini melihat dan mentertawakan kami seperti yang kami lakukan kepada mereka beberapa tahun lalu.”

Mourinho membelanjakan lebih £350 juta (RM1.9 bilion) membeli pemain sejak tiba di Old Trafford pada 2016.

Begitupun, hubungan pengurus dari Portugal itu dengan pengurusan teratas kelab tidak begitu baik dan pemain yang dibelinya dengan mahal seperti Alexis Sanchez dan Paul Pogba gagal menyinar di bawah kendaliannya.

“Saya tidak fikir ada kekurangan kualiti di sini,” kata Scholes. “Saya tidak fikir mereka kekurangan beberapa pemain yang benar-benar bertaraf dunia yang pasukan lain ada, gabungan antara pemain tengah, penyerang dan juga pemain tengah berpengaruh.

“Saya fikir semua pemain yang datang ke sini akan bergelut. Saya rasa jika kami membeli Lionel Messi ketika ini dia juga pasti bergelut dalam pasukan ini. Saya fikir (Mourinho) masih (pengurus hebat) tapi kami tetap tertanya-tanya mengapa skuad kendaliannya merudum.” – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.