Pelakon Bollywood tampil dengan pendedahan #metoo

Semakin ramai wanita di India tampil dengan pengakuan gangguan seksual melibatkan lelaki yang mempunyai kedudukan tinggi dan kes ini turut dilaporkan berlaku dalam industri media dan hiburan (Bollywood).

Antaranya, aktres Tanushree Dutta yang membuat laporan terhadap aktor terkemuka Nana Patekar yang didakwa melakukan salah laku di tempat penggambaran filem pada 2008. Satu lagi kes mengenai seorang penerbit televisyen wanita yang mendakwa beliau dirogol seorang aktor terkenal kira-kira 20 tahun lalu.
Tanushree Dutta looking at the camera© Provided by FMT MEDIA SDN BHD

Dutta, yang juga bersuara mengenai gangguan oleh seorang pengarah filem mendapat sokongan dari rakan bintang filem yang lain yang mengagumi keberanian beliau mendedahkan apa yang berlaku ke atas dirinya.

Media India sejak kebelakangan ini secara meluasnya melaporkan dakwaan salah laku seksual melibatkan seorang ahli politik yang dahulunya editor, M.J. Akbar. Beliau kini menyandang jawatan menteri hal ehwal luar.

Akbar menolak dakwaan yang dilemparkan ke atas beliau oleh ramai wartawan wanita yang bekerja di bawahnya bertahun-tahun lalu. Beliau menyoal tindakan mereka membuat tuduhan itu kerana beberapa bulan lagi India dijangka mengadakan pilihan raya umum.

“Tuduhan salah laku yang dibuat ke atas saya adalah palsu dan sengara direka dengan niat jahat. Saya tidak dapat menjawab tuduhan ini dengan secepat mungkin kerana saya berada di luar negara atas tugas rasmi, “ kata menteri itu dalam satu kenyataan Ahad lepas.
a man wearing glasses© Provided by FMT MEDIA SDN BHD

Beliau menambah, “Tuduhan tanpa bukti kini semakin menjadi-jadi di kalangan sesetengah pihak. Apa pun kes, saya sudah mengarahkan peguam saya meneliti tuduhan ini sebelum membuat keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang.”

Sejak tuduhan itu didedahkan, banyak pihak menuntut beliau meletak jawatan. Akbar adalah nama tersohor dalam dunia kewartawanan India.

Kenyataannya yang dibuatnya pada Ahad lepas tidak memuaskan hati pengkritiknya dan kecaman terhadap beliau masih berterusan di media sosial.

Dengan banyaknya tuduhan yang dibuat melibatkan tokoh terkemuka, termasuk dalam dunia media, penulis dan pengarah filem, kempen berkenaan menyamai pergerakan “MeToo” di Amerika Syarikat. Kempen ini bermula pada 2017 selepas pengarah filem Hollywood, Harvey Weinstein dituduh merogol beberapa orang wanita.

Tuduhan yang dibuat oleh wanita India itu termasuk meraba, ciuman yang dipaksa, tuntutan melakukan seks, mesej yang lucah dan sentuhan yang tidak bersesuaian.

Terdapat beberapa sebab mengapa wanita ini tampil membuat dakwaan insiden gangguan seksual yang berlaku puluhan tahun lamanya.

Ada yang mahu menamakan serta memalukan mereka yang mengekspoitasi wanita dengan menggunakan kedudukan mereka Sementara yang lainnya berharap dapat menakutkan mereka yang berpotensi untuk melakukan perkara buruk itu dan secara tidak langsung mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat.

Industri filem di India sememangnya terkenal dengan kes gangguan seksual terhadap wanita dengan andaian wanita tidak akan dapat peluang berlakon tanpa melalui “ujian di ranjang”.

Seperti yang menjadi buah mulut ramai, sesetengah editor, pemilik media, aktor kanan dan pembuat filem sering melakukan gangguan seksual.

Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak India, Maneka Gandhi berkata kerajaan merancang menubuhkan jawatankuasa pakar perundangan untuk mengkaji dakwaan gangguan seksual.

“Bukan mudah untuk wanita yang mengalami gangguan ini untuk tampil membuat pendedahan dan aduan. Kes-kes ini sudah lama dipendam sejak 25 tahun lalu. Persoalannya bagaimana mereka boleh membuktikan apa yang sudah berlaku bertahun-tahun lalu. Mereka dimaki, disentuh, dicubit dan pakaian mereka ditanggalkan, “ katanya.

“Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah untuk menamakan serta memalukan lelaki yang buruk perangai tu. Langkah berkenaan sekurang-kurangnya dapat mengurangkan tekanan yang sudah ditanggung sekian lama oleh wanita-wanita itu, “ tambahnya.

Memandangkan beberapa insiden yang dilaporkan itu sudah berlaku terlalu lama, ada pihak yang mengaitkan tindakan itu dengan motif politik dan balas dendam.

Debat mengenai perkara ini berterusan di media sosial. Sama ada kempen ini akan berterusan atau tidak bergantung jika ada nama-nama terkenal lain yang didedahkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.