Cadangan mansuh hukuman mati dapat maklum balas positif

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori mendapat maklum balas positif daripada pihak antarabangsa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.

Beliau bagaimanapun menegaskan, cadangan itu masih dalam kajian proses penelitian menyeluruh dan ia akan diputuskan oleh kabinet untuk tindakan lanjut.

“Selepas pihak Peguam Negara selesai dengan kajian mereka ia akan dibentangkan kepada saya untuk dibawa ke Kabinet bagi mendapatkan keputusan,” katanya selepas menghadiri rakaman program UPSOUND terbitan Bernama News Channel bagi membincangkan isu bertajuk ‘Mansuh Hukuman Mati’ yang akan disiarkan pada 8.30 malam, Rabu ini.

Vui Keong berkata, selepas mendapat kelulusan kabinet, cadangan pemansuhan hukuman itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat untuk dibahaskan dan diputuskan.

“Sekiranya dapat… kita proses (dibentang pada persidangan Dewan Rakyat) tahun ini, dan sekiranya tak sempat, kita akan proses tahun hadapan​​​​​​ ​pada sesi akan datang, 2019 pada bulan Mac,” katanya.

Vui Keong berkata, langkah pemansuhan hukuman itu mendapat pujian daripada pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang positif dengan langkah terbabit.

Pada 7 Oktober lalu, Vui Keong memaklumkan kajian untuk memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini berada pada peringkat akhir sebelum dibentangkan kepada Kabinet. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.