Dr Mahathir akui jadi PM sekarang lebih sukar, mencabar

SHAH ALAM: Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui menjadi perdana menteri dalam senario politik masa kini lebih sukar kerana beliau tidak lagi memimpin sebuah parti dominan dalam kerajaan.

Beliau turut mengakui keadaan hari ini berbeza berbanding ketika zaman beliau memegang jawatan terbabit selama 22 tahun dalam pentadbiran terdahulu.

“Dulu pimpin parti dominan kita ada suara terbesar di mana yakin apa yang dicadang mendapat sokongan.

“Sekarang kita ada empat parti dalam Pakatan Harapan (PH) yang berbeza ideologi. Jadi, kalau saya nak buat sebarang keputusan, saya perlu ‘convince’ (yakinkan) parti-parti dalam PH,” katanya dalam program Bicara Minda yang dikendalikan wartawan veteran, Tan Sri Johan Jaaffar di Seksyen 15 di sini, hari ini.

Dr Mahathir turut menarik perhatian bahawa ketika beliau menjadi perdana menteri pada 1981, keadaan kerajaan serta negara berada dalam keadaan tersusun, di mana ketika itu beliau hanya membuat keputusan dan jentera kerajaan akan membuat kerja.

Namun, beliau berkata sebaliknya berlaku ketika ini apabila kerajaan yang ditinggalkan pentadbiran terdahulu sangat teruk.

Perdana Menteri juga menyifatkan dakwaan bahawa PH adalah anti Islam serta pendukung liberal dibuat oleh musuh kerajaan.

Dr Mahathir turut berpendapat kerajaan pada masa kini memerlukan pembangkang di Dewan Rakyat dalam usaha menjadi semak dan imbang kepada kerajaan.

“Parti lawan penting. Kalau tak ada mereka, ia ibarat melihat diri sendiri dalam cermin. Kita tengok rupa sendiri cantik tapi orang lain tak begitu,” katanya.

Mengenai tuduhan bahawa beliau mengamalkan ‘flip-flop’ dalam keputusan kerajaan, Dr Mahathir mengakui kerajaan PH pada masa kini tidak dapat melaksanakan semua janji pilihan raya dan terpaksa membuat sedikit penyesuaian.

Perdana Menteri berkata, ini kerana kerajaan berdepan dengan keadaan kewangan negara yang tidak mengizinkan.

“Kalau orang nak kata ‘flip-flop’ (kerana) terpaksa ubah, tak apalah,” katanya.

Sementara itu menjawab soalan daripada seorang penonton sama ada kerajaan PH akan melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan dalam masa terdekat, beliau berkata buat masa ini kerajaan belum bercadang berbuat demikian dengan mengambil kira ketidakseimbangan jumlah komposisi kaum di bandar dan luar bandar. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.