SPRM tahan 15 pegawai belia, sukan

JOHOR BAHRU 22 Okt. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan 15 pegawai belia dan sukan untuk membantu siasatan berhubung tuntutan palsu berkaitan Program Liga Sukan di negeri ini melibatkan jumlah RM90,000 pada 2015.

Kesemuanya yang merupakan pegawai di pejabat belia dan sukan di lapan daerah berusia antara 30 hingga 50 tahun ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari tadi di Pejabat SPRM Johor di sini.

Suspek yang terdiri daripada lelaki dan wanita ditahan untuk siasatan penganjuran program tersebut di Ledang, Mersing, Muar, Batu Pahat, Kulai, Pontian, Kluang dan Kota Tinggi sedangkan program itu tidak dianjurkan.

Siasatan SPRM mendapati mereka bersubahat dengan kontraktor-kontraktor dalam melakukan tuntutan palsu itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 untuk yang tinggi dan penjara tidak lebih 20 tahun.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan kesemua suspek akan dihadapkan ke mahkamah esok untuk permohonan reman bagi membantu siasatan. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.