Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, kesusahan yang dirasakan mereka hanya bersifat ‘sementara’ yang mana ia merupakan sebahagian daripada kesan kerosakan yang di­tinggalkan pentadbiran terdahulu.

Beliau berkata, perkara itu merupakan proses ke arah menstabilkan semula pentadbiran kerana kerajaan kini sedang dalam usaha untuk mengenal pasti kontrak yang diberikan secara tidak telus.

“Kita lihat ada sebahagian daripada kontrak diberikan begitu sahaja, secara runding terus ataupun sebagai seorang yang rapat dengan orang berkepen­tingan kuasa politik, maka mereka ini diagihkan.

“Boleh saya nyatakan di sini, itu semua sementara. Insya-Allah dalam masa terdekat kita bangunkan semula aktiviti eko­nomi menyebabkan perolehan yang sama supaya mereka dapat kembali membangunkan perniagaan,” katanya selepas me­­rasmikan Majlis Anugerah Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) Biz Challenge 2018 di Mercu UEM di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi PUNB, Datuk Hazimah Zainuddin dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Jammi Abdul Karim.

Akhbar hari ini melaporkan lebih 6,000 ahli Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf) mengadu ‘mati akal’ untuk memberi alasan apa­bila menerima panggilan bank berhubung pembayaran ansuran kereta dan rumah yang tertunggak.

Keadaan itu menyebabkan kebanyakan mereka terpaksa ‘gali lubang tutup lubang’ se­perti berhutang dengan saudara-mara dan menukar kerja lain seperti menjaja di pasar malam atau tepi jalan serta membawa teksi demi meneruskan kehidupan masing-masing.

Sementara itu, Mohd. Redzuan berkata, kerajaan tidak menolak kemungkinan menghapuskan kuota bumiputera da­lam perniagaan logistik seandainya budaya mengalibabakan projek terus diamalkan usahawan terlibat.

“Kita bukan nak mansuhkan sebaliknya ia hanya contoh, andai suatu hari mungkin terpaksa dilakukan. Jadi bumiputera ke­na sedar yang bantuan ini tidak akan ada sepanjang masa,” katanya.