‘Alamak, muka kita dah viral!’

SELEPAS menyedari wajahnya tular di laman sosial dan laporan polis sudah dibuat, individu yang mencuri 28 kerusi di kedai makan di Wakaf Bharu, Tumpat bertindak memulangkan semula kerusi terbabit.

Individu itu bertindak memulangkan semula kerusi dengan menampal nota mohon maaf dan meminta supaya ditarik balik laporan polis yang dibuat serta gambar yang ditularkan hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di media sosial.

Pemilik kedai makan terbabit, Ali Senik, 54, berkata, kerusi yang hilang dicuri pagi semalam dipulangkan pada 8 pagi tadi.

“Saya terkejut melihat kesemua kerusi yang hilang dicuri semalam ada di hadapan pintu kedai.

“Turut dilekatkan di kerusi itu adalah sekeping kertas yang bertulis supaya saya menarik balik laporan polis yang dibuat serta gambar yang ditularkan sejak semalam,” katanya ketika dihubungi di Tumpat, hari ini.

Dalam kejadian semalam, sebanyak 28 kerusi di kedai makan yang menjual bubur nasi dan makanan Thailand itu hilang yang menyebabkan pemilik kerugian kira-kira RM300.

Ali yang memuatnaik gambar individu yang dipercayai mencuri kerusi terbabit ke laman sosial bagi memberi peringatan kepada orang ramai supaya berhati-hati.

Beliau berasa lega selepas suspek memulangkan kerusinya kembali dan tidak akan mengambil tindakan terhadap suspek berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.