Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd. Nur Hishamuddin Hashim berkata, beliau telah menonton rakaman video insiden itu yang tular di media sosial dan siasatan lanjut pihaknya mendapati pemilik kenderaan tersebut sebenarnya berada dalam keadaan mabuk.

Kata beliau, anggota polis terlibat langsung tidak menyentuh lelaki yang didakwa menjadi mangsa kekerasan polis tersebut, sebaliknya cuma menasihatinya supaya tidak memandu semasa sedang mabuk.

“Apa yang sebenarnya berlaku adalah sebaliknya. Lelaki itu mabuk dan enggan bekerjasama apabila diminta mengalihkan keretanya kerana menghalang.

“Kami cuma menjalankan tugas dan kami mengenal pasti tempat di hadapan Maybank Bahau sebagai zon penguatkuasaan tegas (larangan meletak kenderaan),” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Semalam, sebuah rakaman video berdurasi selama enam minit memaparkan beberapa individu membantah tindakan polis menahan seorang lelaki ditahan polis tular di media sosial.

Seorang anggota polis didakwa menendang lelaki itu kerana meletakkan kereta di hadapan Maybank Bahau sewaktu isteri dan anaknya menunggu di dalam kereta tersebut.

Muhd. Nur Hishamuddin berkata, pemilik kerera tersebut mengakui kesilapan yang dilakukannya selepas dia di bawa ke balai polis berhampiran.

“Kami telah beri amaran supaya dia tidak mengulangi kesalahan . Kami pun tidak mahu panjangkan hal ini kerana hari ini Deepavali . Jika ditangkap, pasti kena tidur lokap,” katanya. – K! ONLINE