Pinjam kejap je…

PETALING JAYA: “Saya nak minta maaf sebab dah curi moto abang. Saya tak ada niat nak curi, tapi saya nak ambil pengalaman naik moto besar. Saya betul-betul minta maaf.”

Permohonan maaf itu terkandung dalam nota ditulis seorang penjenayah kepada pemilik sebuah motosikal berkuasa tinggi selepas melarikan motosikal jenis Yamaha R6, dalam kejadian di pangsapuri Flora Damansara, semalam.

Nota yang diselitkan di tingkap pemandu kereta Ford Fiesta mangsa yang turut dipecah suspek sama ditemui pagi tadi.

Pemilik motosikal, Mohd Khairul Anuar Mohd Jamil, 32, berkata, sebaik menjumpai nota itu, pada mulanya dia beranggapan ada individu cuba mempermainkannya.

“Nota itu diselitkan di cermin kereta saya yang pecah dan di bahagian belakang nota tertulis motosikal saya berada di kawasan letak motosikal di kawasan kondominium Empire Damansara.

“Mulanya, saya ingat ada orang mahu mempermainkan saya, tapi bila pergi ke lokasi itu pagi tadi, memang ada motosikal saya di situ dan terus memaklumkan kepada polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Khairul berkata, motosikalnya disedari hilang semalam kira-kira jam 8 pagi ketika mahu ke tempat kerja.

“Selain hilang motosikal, kereta saya turut dipecah suspek sama yang melarikan beberapa barang berharga seperti cermin mata dan pengimbas SmartTag.

“Saya syak suspek jumpa kunci pendua motosikal di dalam kereta dan ambil kesempatan melarikannya,” katanya.

Menurut Mohd Khairul, bagaimanapun dia bersyukur apabila dapat menemui semula motosikal kesayangannya itu.

“Saya sayang motosikal ini dan membelinya disebabkan minat motosikal berkuasa tinggi sejak kecil lagi.

“Jadi, bila ia hilang, saya rasa sedih sebab motosikal itu bukan saya gunakan untuk berlumba atau layan corner (selekoh), sebaliknya lebih kepada minat,” katanya.

Beliau berkata, dia sudah memaafkan perbuatan penjenayah berkenaan yang turut menyebabkan barang berharga serta cermin tingkap keretanya pecah, namun menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Saya sudah maafkan penjenayah itu, namun perbuatan itu adalah satu kesalahan jenayah dan harap polis dapat menahannya untuk tindakan undang-undang.

“Lagipun, saya tidak mahu orang lain menjadi mangsa penjenayah sama yang melakukan jenayah pecah kenderaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada mangsa, pagi semalam.

Katanya, motosikal yang dilaporkan hilang juga sudah ditemui dan polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti suspek berkenaan.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.