Red Star kejutkan Liverpool

BELGRADE: Liverpool berdepan kemungkinan tersingkir daripada peringkat kumpulan Liga Juara-Juara selepas tewas mengejut 0-2 kepada Red Star Belgrade di ibu negara Serbia itu awal pagi tadi.

Milan Pavkov meledak dua gol dalam tempoh tujuh minit babak pertama untuk membantu Red Star mencatat kemenangan pertama dalam Liga Juara-Juara selepas 26 tahun.

Liverpool menghuni tangga kedua Kumpulan C di belakang Napoli menerusi perbezaan gol selepas kelab Naples itu seri 1-1 dengan Paris Saint-Germain. Reds akan bertemu kedua-dua kelab itu bagi dua aksi terakhir peringkat kumpulan.

“Pemain amat kecewa, saya juga terlalu kecewa dan kami perlu bertindak lebih baik. Kami mesti bermain lebih bagus kerana kami mampu beraksi dengan lebih baik, tapi malam ini sudah terlewat,” kata pengurus Liverpool, Juergen Klopp.

Juara Piala Eropah pada 1991, Red Star tidak berjaya melepasi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara sejak tahun berikutnya.

Namun susulan sokongan padu peminat tuan rumah, juara Serbia itu mendapat inspirasi untuk mencetus kekalahan kedua Liverpool pada peringkat kumpulan selepas turut tewas kepada Napoli bulan lalu.

PENYOKONG Red Star Belgrade di Stadium Rajko Mitic. – Foto Reuters
PEMAIN Red Star Belgrade meraikan kemenangan selepas tamat perlawanan. – Foto Reuters

“Mereka mencipta banyak ‘set-piece’ dan satu daripadanya menghasilkan gol,” ujar Klopp.

“Tidak lama selepas itu mereka menjaringkan gol kedua dan kemudian suasana amat berbeza, anda boleh merasakannya.

“Mereka terus menguasai dan kami terpaksa menangani keadaan.”

Naib juara Liga Juara-Juara musim lalu itu dihukum kerana permulaan hambar selain keputusan Klopp melakukan tiga pertukaran berbanding kesebelasan utama yang seri 1-1 di Arsenal, Sabtu lalu. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.