Rogol bawah umur: Polis minta ibu bapa awasi media sosial anak

BAGAN SERAI: Ibu bapa diminta memantau aktiviti anak-anak terutama yang melibatkan penggunaan aplikasi media sosial bagi mengelak mereka terjebak dengan gejala sosial.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Omar Bakhtiar Yaacob berkata pemantauan secara serius dapat mencegah berlaku peningkatan kes rogol bawah umur khususnya di daerah itu.

Katanya sejak Januari lalu, sebanyak 8 kes rogol bawah umur direkodkan di daerah Kerian berbanding 2 kes dalam tempoh sama tahun lepas dengan semuanya berpunca daripada perkenalan mangsa dengan suspek melalui aplikasi media sosial seperti WhatsApp dan WeChat.

“Kebanyakan kes rogol yang kita siasat berlaku atas kerelaan mangsa, walaupun ada yang baru mengenali antara satu sama lain dan kebanyakan mangsa dikenal pasti sudah tidak bersekolah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, hari ini.

Beliau turut menolak dakwaan terdapat sebuah rumah urut dan spa kecantikan di Pusat Bandar Parit Buntar menjadi “lubuk” kegiatan pelacuran secara dalam talian.

“Siasatan mendapati pusat spa kecantikan itu berlesen dan hanya menjalankan aktiviti perniagaan dibenarkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kita tidak menolak kemungkinan ada pekerja di situ menawarkan khidmat seks menggunakan aplikasi media sosial, namun tindakan itu tidak didalangi pengurusan spa,” katanya sambil menegaskan akan memantau aktiviti premis tersebut.

Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.