Tender terbuka tidak jejas bumiputera – Guan Eng

GEORGETOWN: Pelawaan kerajaan terhadap sektor swasta menggerakkan ekonomi dan pengenalan konsep tender terbuka bagi kontrak atau projek, tidak akan menjejaskan agenda Bumiputera atau masyarakat berkenaan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata ia sebaliknya akan membuka peluang sama rata dan adil kepada semua pihak, selain mampu meningkatkan tahap kecekapan pihak berkaitan dalam menawarkan perkhidmatan terbaik.

Katanya, konsep tender terbuka berupaya menghapuskan amalan tender terhad dan rundingan terus bagi mana-mana kontrak atau projek kerajaan dengan semua agenda Bumiputera akan diteruskan seperti biasa menerusi pendekatan berbeza.

“Kita ingin gerakkan ekonomi yang bukan saja menaikkan ekonomi rakyat, tetapi boleh menjurus ke arah ekonomi keusahawanan.

“Ia boleh digerakkan melalui syarikat swasta. Sudah tentu ada pandangan kurang tepat mengenai pelaksanaannya dan akan diperbetulkan kelak.

“Mungkin mereka anggap kontraktor Bumiputera akan diketepikan, namun apa yang kita perkenalkan ialah apabila tender terbuka dijalankan contohnya bagi kontraktor kelas F, ia hanya membabitkan golongan berkenaan dan saya rasa ia tiada masalah.

“Masalah yang timbul sebelum ini, (kontraktor) kena dapatkan tandatangan ketua bahagian, tetapi kini tidak lagi.

“Contohnya di Pulau Pinang, ada kontraktor Bumiputera dilihat benar-benar buat kerja dan saya rasa ini yang perlu diberi tumpuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Taklimat Khas Belanjawan 2019 yang turut dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong di sini, malam ini.

Guan Eng turut membidas dakwaan kononnya kerajaan menganaktirikan negeri di Pantai Timur, selain menegaskan peruntukan perbelanjaan pembangunan di hampir semua negeri mencatat peningkatan berbanding Bajet 2018.

Katanya, kerajaan menaikkan peruntukan perbelanjaan negeri daripada RM27.9 bilion kepada RM31.7 bilion, termasuk di Kelantan yang menyaksikan peningkatan daripada RM1,214 juta pada Bajet 2018 kepada RM1,376 juta (Bajet 2019).

“Saya kesal dengan beberapa pandangan dan kritikan pemimpin dari Kelantan, mendakwa tak beri langsung pembangunan di negeri itu.

“Ia tak benar sama sekali, biarlah semuanya berasakan fakta serta angka dan janganlah buat fitnah.

“Pembangkang suka mainkan sentimen tanpa berdasarkan angka dan fakta. Ini tak sihat kerana apabila kita mahu bangunkan ekonomi, ia mesti berdasarkan angka dan fakta, jika tak negeri akan jadi mundur dan miskin.

“Mungkin itu sebabnya kita lihat kerajaan Kelantan menghadapi kesulitan bayar gaji kakitangannya kerana mereka memfitnah dan tak berdasarkan fakta serta angka.

“Kita juga bertindak secara adil, walaupun ia membabitkan negeri tak sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.