Astro Bukan Lagi Monopoli

Kementerian Komunikasi dan Multimedia berkata, tiada lagi monopoli Astro dalam penyediaan perkhidmatan penyiaran televisyen berbayar kerana pada masa ini terdapat empat lagi syarikat diberi hak yang sama untuk bersaing dalam menyediakan perkhidmatan itu.

Timbalan Menteri berkenaan, Eddin Syazlee Shith berkata, tempoh hak eksklusif dan keistimewaan yang diberi kepada Measat Broadcast Network Systems Sdn. Bhd. (Astro) untuk menyiarkan kandungan kepada orang awam melalui perkhidmatan satelit telah berakhir pada 28 Februari 2017.

Bagaimanapun katanya, Astro masih berhak meneruskan aktiviti penyiaran satelit ini atas dasar bukan eksklusif kerana lesen-lesen yang dimiliki Astro di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sah sehingga 1 Februari 2020 bagi Lesen Individu Pemberi Kemudahan Rangkaian dan Pemberi Perkhidmatan Rangkaian.

Lesen Individu Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP) pula tamat pada 28 Februari 2022.

Menurut Eddin Syazlee, sehingga 30 September lalu, sebanyak 35 syarikat diberi lesen CASP oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menawarkan perkhidmatan penyiaran TV melalui pelbagai platform seperti satelit, penyiaran bebas ke udara, protokol Internet dan penyiaran televisyen ‘Digital Terrestrial Television Broadcasting’. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.