Potongan gaji tetap diteruskan walaupun ada bantahan – PTPTN

PETALING JAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) mengumumkan ia mendengar kegusaran peminjam berhubung potongan gaji berjadual (PGB), selepas rancangan itu mengundang kecaman daripada pelbagai pihak.

Pengerusi Wan Saiful Wan Jam berkata PGB tetap akan diteruskan tetapi PTPTN sedia mempertimbangkan rayuan peminjam yang memerlukan pertimbangan khas.

“Kerajaan mempunyai pilihan, memberi keutamaan kepada peminjam hari ini atau memastikan kelestarian PTPTN supaya sejuta anak kecil hari ini mempunyai dana untuk ke IPT pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Saiful menafikan dakwaan mekanisme PGB bertentangan dengan perjanjian yang dimeterai antara peminjam dan PTPTN.

“…melalui perjanjian yang mereka tandatangani, peminjam telah pun bersetuju untuk membuat bayaran balik mengikut apa-apa skim yang ditetapkan PTPTN termasuk potongan gaji melalui majikan,” katanya.

Wan Saiful berkata PTPTN juga boleh mengarahkan majikan membuat potongan gaji daripada peminjam untuk membayar pinjaman pendidikan itu.

“…Seksyen 29 Akta PTPTN 1997 telah memperuntukkan kuasa kepada PTPTN untuk mengarahkan majikan melaksanakan potongan gaji ke atas peminjam,” katanya.

Pada 27 November lalu, PTPTN mengumumkan mekanisme baru yang akan menyaksikan potongan wajib sebanyak 2% hingga 15% daripada gaji bulanan peminjam yang berpendapatan RM2,000 dan ke atas.

Walaupun jumlah bayaran balik peminjam yang mendapat gaji RM2,000 sebulan hanyalah RM40, namun jumlah itu meningkat bagi mereka berpendapatan RM8,000 dan ke atas, yang terpaksa membayar 15% atau RM1,200 setiap bulan.

Peminjam yang mempunyai pendapatan kurang dari RM2,000 tiada penolakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.