Sultan Nazrin kecewa Melayu makin lemah

MELAKA 7 Dis. – Timbalan Yang di-Per­tuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menza­hirkan kekecewaan terhadap sikap orang Melayu yang kini dilihat beransur-ansur lemah, hilang semangat ukhuwah dan jati diri hanya kerana bersaing merebut kuasa.

Titah baginda, orang Me­layu telah terperangkap dalam perlumbaan menconteng arang sesama mereka sehingga ma­sing-masing ghairah menepuk air di dulang dan airnya sema­kin terpercik ke muka sendiri.

“Budaya berpolitik yang sedang berlaku di bumi warisan bangsa ini telah menjelmakan ketaksuban baharu, menghi­dupkan budaya asabiah.

“Ia juga menganjurkan pemikiran yang lebih mengutamakan kesetiaan kepada kumpulan daripada kepentingan menerima kebenaran, mencanai minda yang lebih mementingkan kumpulan, daripada kelangsungan ummah yang lebih menyeluruh,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika berkenan me­nyampaikan watikah kepa­da Ahli-Ahli Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Hakim Mahkamah dan Pendaftar Mah­kamah Syariah Melaka di Hotel Equatorial di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, baginda berkenan menganugerahkan wa­tikah kepada 15 Ahli MAIM dan 21 Hakim Mahkamah dan Pendaftar Mahkamah Syariah negeri ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr. Mohd. Khalil Yaakob; Ahli Jemaah Pemangku Raja Perak, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Tan Sri Dr. Mohd. Zahidi Zainuddin dan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.

Titah Sultan Nazrin, Islam telah membina umat Melayu yang berdisiplin, amanah, jujur, luhur dan ikhlas sehingga dapat membina ukhuwah menjadi teguh dan muncul sebagai umat yang kuat.

“Tetapi hari ini umat Me­layu kelihatan beransur lemah, kerana umat Melayu telah kehilangan semangat ukhuwah, umat Melayu telah lemah jati diri, umat Melayu semakin hanyut dalam perlumbaan kebendaan, umat Melayu sema­kin mabuk dilambung gelombang persaingan kuasa,” titah Sultan Nazrin.

Sehubungan itu, baginda mengingatkan agar peristiwa yang berlaku di zaman Ibnu Khaldun yang mencatatkan perpecahan politik dan perebutan kuasa yang amat dahsyat di Afrika Utara dan Andalusia sehingga mengakibatkan kejatuhan tamadun dan pemerintahan Islam tidak berlaku.

Ibnu Khaldun menyaksikan kesediaan pemerintah melakukan apa sahaja untuk memastikan kuasa berada di tangan mereka, termasuk memperalatkan para ulama.

Baginda bertitah, ulama yang pada era kegemilangan Islam, bersifat jujur, ikhlas namun sebahagiannya telah tergoda de­ngan kemegahan harta, jawatan dan gelaran sehingga bertukar serta membenarkan diri menjadi pemanfaatan bagi kepenti­ngan peribadi umara tertentu.-UtusanOnline

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.