TH cadang letak had kadar dana pendeposit

Spread the love

Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH) sedang mengkaji untuk meletakkan had bagi dana setiap pendeposit pada masa depan sebagai satu daripada langkah untuk mengurangkan liabiliti kerajaan dan pendedahan kepada pendeposit.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Zukri Samat, berkata langkah itu untuk mengehadkan deposit individu pada kadar sesuai sebagai sebahagian pelan penstrukturan semula perniagaan TH yang sedang menunggu kelulusan lembaga.

“Dana pendeposit adalah dijamin oleh kerajaan iaitu kerajaan perlu membayar penuh sekiranya apa-apa berlaku terhadap dana itu, tidak seperti institusi perbankan lain yang hanya perlu membayar maksimum RM250,000 melalui Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) kepada pendeposit tanpa mengira berapa banyak wang yang mereka depositkan,” katanya kepada BERNAMA hari ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan cadangan itu tidak akan dilaksanakan sekarang kerana lembaga sedang mengendalikan beberapa isu berkaitan pengeluaran panik oleh pendepsoit, dicetuskan oleh beberapa “salah lapor” berhubung dana TH baru-baru ini.

“Kami tidak akan laksanakannya sekarang kerana ia akan memburukkan lagi masalah yang dihadapi kami ketika ini (pengeluaran panik). Kami mahu membiarkan keadaan yang dihadapi sekarang reda dan selesai dahulu sebelum kami melaksanakan cadangan ini,” katanya.

Beliau berkata pengeluaran oleh pendeposit di tahap lebih tinggi daripada biasa pada Selasa, didorong oleh laporan berita.

Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Semula TH diumumkan di Parlimen baru-baru ini mendedahkan jumlah deposit amat tinggi dalam kalangan segmen kecil pendeposit, iaitu 1.3 peratus atau 117,000 pendeposit menyumbang kepada 50 peratus deposit, termasuk seorang pendeposit yang mempunyai lebih RM190 juta dana.

Zukri berharap penstrukturan semula perniagaan akan mengembalikan semula TH kepada objektif asal penubuhannya iaitu untuk membantu umat Islam menunaikan haji.

“Kami mahu kembali kepada mandat asal kami. Kami sedang menyemak model perniagaan kami, termasuk pelaburan sedia ada dalam beberapa sektor yang tidak memberikan pulangan positif.

“Kami telah memulakan proses semakan tetapi kami sebenarnya masih belum pergi ke lembaga untuk pengesahan. Kami tahu sektor apa yang kami mahu keluar daripadanya, yang tidak menjana wang untuk kami seperti teknologi maklumat dan perladangan,” jelasnya.

Berhubung dakwaan dana itu akan dikawal oleh DAP berikutan pengumuman TH akan diletakkan di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) mulai tahun depan, Zukri berkata, itu adalah tidak betul sama sekali.

“Dalam kes ini, BNM hanya mengawal selia aktiviti pengambilan deposit manakala aktiviti lain TH kekal di bawah bidang kuasa kementerian sedia ada (Jabatan Perdana Menteri).

“TH hanya diletakkan di bawah kawal selia bank pusat, bukannya Kementerian Kewangan atau menterinya Lim Guan Eng. Jika begitulah keadaannya, dengan itu semua institusi perbankan lain termasuk bank-bank Islam, yang diletakkan di bawah BNM, juga berada di bawah DAP berdasarkan dakwaan mereka itu,” katanya.

Zukri memuji langkah meletakkan TH di bawah kawal selia bank pusat kerana BNM mempunyai pengurusan risiko dan kerangka mudah tunai yang kukuh yang perlu dipatuhi oleh TH, serta membuat keputusan berhubung pelantikan anggota lembaga yang lebih telus dan ketat.

“Mereka (BNM) hanya mengawal selia aktiviti pengambilan deposit, bukan perkara lain seperti menentukan siapa yang dipilih untuk mengerjakan haji, sebagai contohnya,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.