Terlalu kerap terima mesej dan foto lucah, Baby Shima buat report polis

PENYANYI Baby Shima membuat laporan polis terhadap seorang individu yang menghantar mesej lucah di laman Instagram miliknya pada Jumaat.

Shima, 24, berkata dia dan pihak pengurusannya mengambil tindakan tersebut untuk memberi pengajaran pada netizen yang gemar melakukan perkara tidak senonoh itu.

“Saya sudah kerap sangat terima mesej dan foto lucah daripada netizen di laman Instagram sejak program Big Stage tamat.

“Selama ini saya diam dan sabar tapi ada had. Kali ini, saya dan pihak pengurusan terpaksa ambil tindakan terhadap seorang individu yang menghantar mesej lucah.

Individu tersebut memohon maaf selepas Shima membuat laporan polis.

“Kami membuat laporan polis terhadap individu tersebut bagi memberi pengajaran kepada mana-mana netizen yang melakukan perkara yang sama,” katanya kepada mStar Online.

Shima diminta mengulas mengenai video dia berada di balai Polis Diraja Malaysia, KLIA 2 untuk membuat laporan polis terhadap seorang individu.

Tambah Shima, dia pernah menerima foto lucah daripada seorang lelaki yang sudah berkahwin dan mempunyai anak.

Namun, ketika itu dia hanya mengambil langkah menyekat akaun laman sosial individu dan sesiapa sahaja yang menghantar mesej seperti itu.

“Pernah sekali saya terima foto lucah daripada seorang lelaki yang dah ada isteri dan anak. Tapi masa itu, saya hanya sekat sahaja akaun tersebut.

Shima mahu memberi pengajaran kepada sesiapa yang gemar menghantar mesej lucah.

“Mana-mana pemilik akaun IG yang hantar mesej lucah, saya akan sekat sahaja. Sebab itu kali ini, saya kena juga ambil tindakan,” ujarnya.

Dalam pada itu, penyanyi yang kini menetap di Jakarta, Indonesia memberitahu individu tersebut telah memohon maaf dan mengakui pernah melakukan perkara sama terhadap selebriti lain.

“Selepas saya beritahu dia yang saya dan pihak pengurusan buat laporan polis, dia terus mohon maaf.

“Rupa-rupanya, dia mengaku pernah menghantar mesej lucah kepada beberapa orang selebriti namun mereka tidak mengambil sebarang tindakan,” katanya.

MStar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.