“Saya tidak akan jadi perdana menteri sehingga pilihan raya akan datang”

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau perlu memegang kepada janji untuk menjadi perdana menteri sementara di sebalik desakan agar beliau terus memegang jawatan itu sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Dalam ucapan penangguhannya pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Ahad, Pengerusi Bersatu itu menjelaskan bahawa matlamat pembangkang sebelum PRU14 lalu ialah menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak, dan ini tidak boleh dilakukan semata-mata dengan sokongan pengundi Melayu.

“Satu ketika dahulu kita adalah pembangkang, kita menubuhkan sebuah parti dan kita harap parti itu akan dapat sokongan orang Melayu.Tetapi kalau kita dapat sokongan orang Melayu sahaja tanpa parti lain, saya tak yakin kita boleh dapat kemenangan,” katanya.

Menurutnya, kemenangan pada PRU itu hanya boleh dicapai dengan gabungan parti-parti lain.

“Kita telah berunding dengan rakan-rakan kita dan satu daripada syarat yang dikenakan ialah perdana menteri dan bekas musuh ketat mereka ini jadi perdana menteri buat sementara sahaja.

“Tetapi yang lebih utama ketika itu ialah menjatuhkan Najib. Untuk ini kita perlu korban, saya perlu korban dan terima syarat itu kerana yang utama bukan jadi perdana menteri tetapi menjatuhkan Najib,” katanya.

Dr Mahathir mengakui pada mulanya memang nampak janggal apabila musuh ketat dilihat duduk bersama dan berganding bahu, namun lama-kelamaan ia menjadi perkara biasa.

“Tetapi Alhamdulillah kerana kita sanggup terima sedikit syarat ini, kita menang. Kita tak sangka kita menang. (Dahulu) bila ditanya apakah mungkin kita menang, jawapan saya ialah 50-50.

“Sampai ke akhir sekali pun saya belum yakin kita boleh menang. Tetapi Alhamdulillah segala puji bagi Allah, kita menang. Pengorbanan yang kita buat telah mendatangkan hasil,” katanya.

Cadangan supaya Dr Mahathir mengekalkan jawatannya sebagai perdana menteri sehingga PRU15 dilapor disuarakan perwakilan pada sesi perbahasan PAT selama tiga hari itu yang berakhir hari ini.

Ditanya mengenai perkara ini di sidang akhbar pada penutupan PAT itu, Dr Mahathir berkata ada orang berpandangan tempoh dua tahun yang disebut itu terlalu pendek untuk mentadbir negara. 

Tentang ini, Dr Mahathir berkata orang berhak menyatakan pandangan mereka. Perdana menteri berkata perkara itu tidak dibincangkan dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bila mereka bertemu pada jamuan malam. Beliau tidak menyatakan bila berlangsungnya jamuan dengan Anwar, yang beliau sifatkan sebagai bakal perdana menteri itu.

“Saya kira beliau rasa selesa bila beliau akan menggantikan saya mungkin dalam dua tahun, saya tak pasti… saya tidak akan menjadi perdana menteri sehingga pilihan raya akan datang,” kata Dr Mahathir.

Ditanya tentang penilaian beliau terhadap kerajaan PH yang beliau pimpin sekarang,  Dr Mahathir berkata ia cukup stabil.

“Setakat yang saya lihat, kami cukup stabil. Para pelabur amat puas hati dengan prestasi kami, begitu juga jaminan kami untuk domestik dan luar (pelabur),” kata beliau.

“Memang kami tidak stabil dari pandangan wartawan sebab kalau kami stabil, maka tidak ada apa yang dapat dilaporkan,” katanya berseloroh.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.