Selatan Thai bergolak

BANGKOK 30 Dis. – Wilayah selatan Thailand kembali bergolak menyaksikan beberapa siri serangan bom dan tembakan di Narathiwat, kelmarin memaksa pihak berkuasa meningkatkan tahap kawalan keselamatan di 13 buah daerah di wilayah itu.

Bagaimanapun, Wisma Pu­tra dalam satu kenyataan berkata, tiada rakyat Malaysia terlibat dalam kejadian tembakan dan letupan tersebut yang dipercayai berlaku sehingga pagi ini.

Keganasan itu mengundang kritikan Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha dengan menyifatkan pihak bertanggungjawab yang me­lancarkan serangan sengaja berniat jahat dan ingin mencetuskan kekecohan.

“Kementerian Luar ingin menasihati rakyat Malaysia yang berkunjung ke Thailand atau mereka yang tinggal di Thailand supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga setiap masa,” kata kenyataan itu.

Bangkok Post melaporkan, sekurang-kurangnya tiga anggota renjer cedera parah selepas terkena tembakan yang dilepaskan oleh kumpulan pemisah dalam satu serangan hendap di daerah Sri Sakhon, Narathiwat, semalam.

Serangan itu berlaku apabila trak pikap yang membawa tiga anggota renjer terbabit berhenti di tepi jalan dan diserang anggota kumpulan pemisah yang dipercayai mereka menggunakan raifal M16.

Ketiga-tiga anggota renjer yang cedera itu dikenali sebagai Sarjan Sompong Asi-ukho, Watcharakorn Kwanyaem serta Sakkarin Prommas dan mereka dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Siri serangan bom dan tembakan itu bermula kelmarin di lapan lokasi termasuk pos keselamatan di empat daerah di Narathiwat.

Di lokasi pertama, sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah pos keselamatan di mukim Kalisa di daerah Rangae pada pukul 6.30 petang waktu tempatan hingga berlaku insiden berbalas tembak.

Tidak lama kemudian, serangan bom yang menyasarkan tiang elektrik berlaku di tujuh lokasi di Chanae di daerah Sri Sakhon dan Takbai.

Pihak keselamatan Thailand turut menemukan 18 butir bom buatan sendiri di tiga daerah Narathiwat yang kemudian dimatikan oleh anggota skuad pemusnah bom.

Beberapa penduduk kampung juga cedera selepas melalui sebuah jambatan yang dipasang bom meletup di perkampungan Sakor di Sri Sakhon.

Sementara itu, serangan terbaharu kumpulan pemisah juga menyaksikan sebanyak empat bom buatan sendiri meletup di empat lokasi berbeza di empat daerah di selatan negara ini, malam tadi dan pagi ini.

Serangan itu melibatkan tiang elektrik di daerah Rangae, menara telekomunikasi di daerah Si Sakhon, landasan kereta api di daerah Rueso semalam dan satu lagi kejadian melibatkan landasan kereta api di Cho Airong, hari ini. – AGENSI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.