Kecoh ‘power bank’ meletup dalam penerbangan Royal Brunei Airlines

Spread the love

BANDAR SERI BEGAWAN: Semua penumpang dan anak kapal Royal Brunei Airlines (RB) tidak mengalami kecederaan, susulan pengecas bateri telefon bimbit atau ‘power bank’ meletup di dalam pesawat semasa penerbangan, perkara itu disahkan oleh syarikat penerbangan Brunei dalam satu kenyataan pada Khamis.

Insiden tersebut menarik perhatian ramai selepas seorang pengguna Facebook memuat posting, menunjukkan video dan imej daripada kejadian itu.

Video dan imej menunjukkan kabin pesawat dipenuhi dengan asap dan para penumpang yang menutup hidung dan muka mereka, manakala kru penerbangan cuba menenangkan keadaan dengan memadamkan kebakaran kecil.

Menerusi posting tersebut, pengguna Facebook, Francis Ngu Hown Hua turut memuji kru RB di atas sikap tenang dan profesional mereka dalam mengendalikan situasi tersebut.

Ketika kejadian, pesawat RB BI636 itu dalam penerbangan dari Hong Kong ke Bandar Seri Begawan, dan mendarat di destinasi dengan selamat serta mengikut jadual.

“Kru kabin kami dilatih untuk mengikuti prosedur operasi standard bagi menangani insiden tersebut secara profesional dan memastikan keselamatan penumpang kami pada setiap masa. Kami mempunyai peralatan keselamatan yang disyorkan di atas kapal pada setiap masa,” kata syarikat penerbangan dalam satu kenyataan.

Syarikat penerbangan itu juga menekankan mengenai kepentingan penumpangnya dan mengeluarkan peringatan dalam mematuhi Panduan kepada Barang Berbahaya untuk diperiksa atau dibawa ke bagasi mengikut Peraturan Kawalan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa di www.flyroyalbrunei.com, demi keselamatan semua penerbangan RB. – Borneo Bulletin/Asia News Network

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.