Berang kerana ditegur, juruwang wanita jadi mangsa

Spread the love

GEORGETOWN: Berang kerana tidak dapat membeli tiga paket minyak masak, seorang lelaki menampar dan mengugut juruwang wanita di sebuah kedai serbaneka di Bayan Lepas, hari ini.

Dalam kejadian jam 8.40 pagi itu, mangsa yang berusia 29 tahun pada mulanya didatangi seorang pelanggan lelaki yang mahu membeli tiga paket minyak masak.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan, berkata mangsa kemudian memberitahu lelaki berkenaan yang dia hanya boleh membeli dua paket minyak masak kerana itu jumlah yang dihadkan bagi setiap pelanggan.

“Bagaimanapun, lelaki terbabit berang dengan teguran itu dan dia terus menampar belakang kepala mangsa dan mengugut mangsa supaya berjaga-jaga sebelum beredar,” katanya dalam satu kenyataan media, malam tadi.

Anbalagan berkata, akibat kejadian itu, wanita berkenaan mengalami sakit di belakang kepala dan berikutan takut dengan ugutan terbabit, melaporkan kejadian itu kepada polis.

“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup mendapati memang berlaku kejadian seorang lelaki mengamuk dan memukul belakang kepala mangsa.

“Mangsa mendakwa, lelaki terbabit marah kerana ditegur apabila mahu membeli tiga paket minyak masak kuantiti satu kilogram setiap satu sedangkan ia dihadkan untuk dijual dua paket saja kepada setiap pelanggan,” katanya.

Menurutnya, polis kini sudah mengenal pasti suspek dan akan menahannya dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 dan 323 Kanun Keseksaan.-BHarian Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.