“Disebabkan bangkai anjing dijumpai 1 km dari masjid pengerusi masjid digelar pembunuh.”

Spread the love

SEREMBAN 10 Jan. – Pengerusi Masjid Ibnu Khaldun Lavender Heights di sini, Mohd. Asna Amin kesal apabila wajahnya dikongsi sehingga 60,000 kali dalam media sosial dan dituduh sebagai pembunuh anjing.

Menurutnya, penghinaan itu bermula selepas sebuah persatuan membela anjing mendakwa beliau terlibat dalam kematian beberapa ekor haiwan itu yang dipercayai diberi racun di Taman Lavender Heights awal bulan ini.

“Heboh satu negara mengatakan imam masjid membunuh anjing sedangkan haiwan itu ditemukan mati di luar masjid. Jarak anjing yang mati dengan masjid kira-kira 1 kilometer.

“Saya jadi mangsa keadaan, anjing masuk ke dalam masjid dan mati tetapi sehingga sekarang saya seorang yang disiasat,” katanya dalam dialog antara penduduk dengan pihak berkuasa berhubung isu anjing di sini malam tadi.

Yang turut hadir Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri, Dr. Nik Hamidah Nik Husin dan kira-kira 200 penduduk.

Mohd. Asna disiasat polis selepas seorang penduduk mendakwa tiga ekor anjing termasuk seekor miliknya ditemukan mati akibat diracun di taman perumahan itu antara 1 hingga 4 Januari lalu.

Mengulas lanjut, Mohd. Asna mengakui terdapat gambar kejadian anjing mati di dalam telefon bimbitnya, namun ia gambar lama iaitu kira-kira tiga minggu sebelum kejadian baru-baru ini.

Beliau juga mempersoalkan tindakan pihak berkuasa merampas telefon bimbitnya untuk siasatan sedangkan dia telah memberi kerjasama penuh serta berharap ia dipulangkan segera.

“Telefon bimbit saya berharga RM21,000. Banyak gambar keluarga di dalamnya. Macam mana kalau gambar isteri dan anak saya ditularkan. Bagaimana dengan maruah kami.

“Hanya kerana anjing liar mati, telefon bimbit saya diambil. Saya menjadi pengarah 10 buah syarikat dan disebabkan isu ini sudah seminggu kerja saya terganggu,” katanya.

Beliau juga berharap pihak berkuasa tidak mendakwanya dalam kes tersebut semata-mata untuk menutup kritikan daripada pertubuhan berkaitan anjing.

Sementara itu, Hock Poh berkata, kes tersebut masih dalam siasatan dan meminta semua pihak tidak menularkan perkara itu sehingga boleh menimbulkan kekecohan.

Mengenai telefon bimbit milik Mohd. Asna, katanya, ia dalam siasatan Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri dan berharap kedua-dua pihak bertemu dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.