Zakir Naik lebih ‘terkawal’ di bawah kerajaan PH, Anwar beritahu India

NEW DELHI: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang melawat India untuk bertemu pemimpin kerajaan dan pembangkang negara itu, melunakkan kontroversi berhubung permintaan New Delhi untuk mengekstradisi penceramah Dr Zakir Naik, tetapi memberi jaminan hubungan diplomatik antara 2 negara itu akan diberi keutamaan.

“Wujud kesediaan untuk melihat kes itu kerana hubungan 2 hala mengatasi pertimbangan lain,” kata Anwar dalam satu temu bual eksklusif dengan India Today, yang sebahagian transkrip temu bual itu dilihat oleh FMT.

Anwar disoal tentang sokongan yang diterima oleh Zakir daripada individu berpengaruh di Malaysia, di sebalik dakwaan terlibat dengan kegiatan keganasan oleh polis India terhadap beliau yang kini mendapat perlindungan di negara ini dan diberikan status pemastautin tetap oleh kerajaan sebelum ini.

Beliau berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil pendekatan berlainan dalam menangani kes Zakir.

“Sejak kami mengambil alih kuasa, dalam tempoh 6 bulan ini, wujud persefahaman bahawa Zakir perlu lebih berhemah atau terkawal.

“Ini nampaknya merupakan amalannya,” kata beliau.

Pemimpin tertinggi kerajaan sebelum ini dilihat menunjukkan simpati terhadap Zakir walaupun berhadapan bantahan berhubung pendekatan kombatif beliau apabila menyampaikan syarahan mengenai perbandingan agama.

Zakir menjadi sasaran penyiasatan di India dan Bangladesh berhubung dakwaan ucapan kebencian dan pengubahan wang. Yayasan Penyelidikan Islam (IRF) miliknya yang berpangkalan di Mumbai diarah tutup oleh pihak berkuasa India, yang meminta beliau diekstradisi ke negara itu.

Zakir menafikan dakwaan terhadap dirinya, sekali gus melantik peguam Malaysia untuk mencabar percubaan mengusir beliau.

Dengan sokongan kuat daripada ilmuan Islam tempatan yang sealiran dengan beliau, termasuk mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin, Zakir kini menjadikan Putrajaya pangkalan barunya dan dikatakan sedang berusaha membangunkan semula organisasi beliau.

Anwar, yang dalam lawatan 5 hari ke India dan disertai 4 Ahli Parlimen itu berkata, “persefahaman dan kontrak” dengan Zakir dibuat oleh kerajaan sebelum ini.

Beliau berkata, Malaysia akan bertindak terhadap Zakir sekiranya terdapat bukti kukuh daripada pihak berkuasa India.

“Bagaimanapun, kita akan akur kepada susila standard antarbangsa dan memastikan apabila anda mempunyai kes yang kukuh, maka anda perlu mengemukakannya (kepada kami).

“Kita tidak boleh bersetuju berdasarkan dakwaan. Saya tidak tahu maklumat terperincinya,” kata beliau.

Tahun lepas, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Zakir tidak akan disekstradisi “selagi beliau tidak menimbulkan masalah”.

Ini berikutan pertemuan antara Zakir dengan Dr Mahathir, kurang 2 bulan selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum 9 Mei. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.