Kementerian Pendidikan nafi beri dana khas pada Kolej Universiti New Era

Spread the love

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan menafikan ia ada kaitan dengan dana khas yang diberikan kepada sebuah kolej swasta di Kajang, Kolej Universiti New Era pada Jumaat lalu.

Kementerian itu dalam kenyataan hari ini berkata, peruntukan khas kepada kolej swasta dikaitkan dengan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) itu, datang daripada Kementerian Kewangan.

Katanya, ia bukan sebahagian daripada RM652 juta yang diperuntukkan dalam bajet negara.

“Bagi Kolej Universiti New Era selaku institusi pendidikan yang bukan bermotifkan keuntungan, peruntukan yang diberikan adalah peruntukan khas Kementerian Kewangan yang diberikan secara terus kepada kolej itu dan tidak melalui Kementerian Pendidikan.”

Kenyataan itu menyusul tindakan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mempersoalkan pemberian dana khas itu kepada Kolej Universiti New Era kerana kerajaan tidak pernah menyatakan sebarang pemberian bantuan kepada institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) itu dalam Belanjawan 2019.

Majlis penyampaian dana khas itu dihadiri Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching pada Jumaat lalu.

Kementerian Pendidikan hari ini berkata, Teo menghadiri majlis itu atas jemputan Kementerian Kewangan.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional juga pernah memberi peruntukan kepada IPTS, iaitu Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman antara RM30 juta hingga RM69.25 juta dalam Bajet 2012 hingga 2018.

Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan menasihatkan semua pihak mengelakkan budaya memainkan sentimen perkauman dan memanipulasi fakta demi menjaga perpaduan negara. -FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.