PRK DUN Semenyih 2 Mac ini

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Mac depan sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Selangor.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya juga menetapkan hari penamaan calon bagi PRK itu pada 16 Februari, manakala hari pengundian awal pada 26 Februari depan.

“Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula pada hari penamaan calon sehingga pukul 11.59 malam, 1 Mac depan ,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas PRK DUN Semenyih di sini hari ini.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan SPR menerima pemakluman rasmi kekosongan luar jangka kerusi DUN Semenyih berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd. Nor pada 11 Januari lalu.

Bakhtiar, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang pada 4.45 pagi Jumaat lepas akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Bakhtiar yang mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menewaskan calon BN, Pas dan PSM dalam pertandingan empat penjuru dengan majoriti 8,964 undi.

Allahyarham yang juga Ketua Bahagian Bersatu Hulu Langat memperoleh 23,428 undi. – K! ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.