Pekerja warga asing bergaji RM5,000 perlu jika negara kurang tenaga mahir

PETALING JAYA: Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berkata cadangan untuk membenarkan pekerja asing profesional memohon pekerjaan bergaji RM5,000 patut dilaksanakan jika negara kurang tenaga mahir dalam kalangan pekerja tempatan.

Pengarah Eksekutifnya Datuk Shamsuddin Bardan berkata, majikan perlu dibenarkan mengisi kekosongan yang ada dengan pekerja asing jika tidak ada pekerja tempatan yang layak.

“Cadangan itu boleh dilaksanakan, bergantung kepada kemahiran pekerja tempatan unntuk mengisi jawatan itu,” katanya kepada FMT.

Beliau memberi contoh kemasukan pegawai dagang di bawah kategori IMM13 apabila kerajaan membekukan pengambilan pekerja asing dari Bangladesh satu ketika dahulu.

“Mereka di bawah kategori IMM13 dibenarkan dibawa masuk bila kerajaan ketika itu membekukan pengambilan pekerja asing dari Bangladesh.

“Pada dasarnya pegawai dagang atau pekerja asing hanya boleh dibawa masuk kerana tiada pekerja tempatan yang boleh mengisi sesuatu jawatan.

“Pegawai dagang di bawah IMM13 tidak harus dibawa masuk jika pekerja tempatan boleh mengisi kekosongan yang ada. Pekerja tempatan tidak sepatutnya bersaing dengan pegawai dagang IMM13 untuk mengisi kekosongan yang ada,” katanya.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran dilaporkan berkata, kementeriannya sedang mempertimbang untuk menaikkan julat kategori gaji pekerja asing profesional yang memohon pekerjaan di Malaysia.

Kenaikan itu akan menyebabkan pekerja asing profesional hanya boleh memohon pekerjaan bergaji RM5,000 ke atas berbanding RM3,000 ke RM5,000 sebelum ini.

“Kategori gaji ini (RM3,000 ke RM5,000) boleh diisi dengan mudah oleh rakyat Malaysia sendiri.

“Kenapa kita mahu pekerja asing pula mengisinya?” katanya.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mahu kerajaan mengutamakan pekerja tempatan dalam mengisi jawatan bagi pekerjaan yang bergaji RM5,000 dan ke atas.

Presidennya Datuk Abdul Halim Mansor berkata, cadangan tersebut tidak wajar kerana ia bakal menyekat peluang warga tempatan untuk bekerja dalam kategori itu.

“Perkara ini tidak wajar dilakukan kalau tidak dibincang dan diperhalusi dengan baik kerana ia akan merosakkan masa depan pekerja tempatan.

“Saya rasa kerajaan mempunyai tanggungjawab terhadap rakyat tempatan dalam konteks pembangunan negara dan ekonomi penduduk. Kita mesti dahulukan rakyat tempatan, bukan rakyat luar,” katanya kepada FMT.

Halim berkata, kebanyakan rakyat Malaysia mempunyai pendapatan yang rendah dan dikategorikan dalam kelompok B40.

Katanya, masih ramai rakyat tempatan mempunyai kelulusan yang baik dan mampu bekerja dalam kategori tersebut.

“Kenapa pula kita tidak boleh dapat pekerja di peringkat pertengahan, tetapi pekerja di peringkat bawah boleh diisi pekerja tempatan? Adakah kita mengiktiraf kelulusan pekerja asing lebih baik?

“Kalau kita mahu ambil pekerja asing di tahap pertengahan sahaja, maka secara tidak langsung pekerja tempatan akan menjadi pekerja di bawah penyeliaan pekerja asing,” katanya lagi. -FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.