Batal ECRL: Maka berkuburlah harapan rakyat Pantai Timur

Spread the love

KUALA LUMPUR 29 Jan. – Teka-teki mengenai pembatalan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akhirnya terjawab apabila Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan pembatalan projek berkenaan hari ini.

Dengan pembatalan itu juga dipercayai akan berkubur terus bersama-sama harapan rakyat negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan yang sememangnya mengharapkan ia akan membantu meningkatkan ekonomi mereka.

Menurut Jabatan Komunikasi Strategik Penerangan UMNO Malaysia, kenyataan Dr. Mahathir bahawa projek ECRL bakal membebankan Malaysia dengan hutang sehingga 30 tahun tidak dapat diterima logiknya kerana kajian menyeluruh telah dijalankan di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Terdapat bahagian laluan ECRL sudah pun memulakan kerja asas dan mengambil kira-kira 30,000 pekerja tempatan dan asing. Baru semalam Dr. Mahathir ada menyebut kemungkinan surat pembatalan yang disiarkan dalam media sosial itu sengaja diputar belit atau diubah bagi menggambarkan keadaan sebenar.

“Hari ini pula, beliau membuat pengakuan mengenai pembatalan itu. Biarpun keputusan Kabinet mengenai projek itu akan dibuat pada minggu hadapan, ia dipercayai akan berkubur terus bersama-sama harapan rakyat Pantai Timur,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah kenyataan tersebut, kemelut ECRL itu juga mencerminkan tidak wujudnya kesepakatan di dalam Kabinet Pakatan Harapan (PH) apabila dua menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Lim Guan Eng saling berpolemik mengenai projek tersebut.

Jelasnya, dari segi politik, keputusan Dr. Mahathir dilihat sebagai ‘hukuman’ ke atas rakyat di tiga negeri berkenaan yang enggan berada di bawah kerajaan PH.

“Ia satu cara kezaliman politik terhadap rakyat yang selama ini melihat ECRL sebagai koridor pembangunan sahsiah ekonomi negeri masing-masing. Dari sudut ekonomi pula, walaupun Kabinet memutuskan untuk membina ECRL pada masa depan, mungkin lima atau 10 tahun lagi, ia bakal menyaksikan kosnya meningkat dua atau tiga kali ganda.

“Dr. Mahathir sendiri pernah berkata di sekitar tahun 90-an apabila ditanya wartawan mengenai rancangannya membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas Subang: ‘Jika bukan sekarang, kosnya akan meningkat dua tiga kali ganda pada masa hadapan’.

“Kita simpati dengan nasib rakyat Pantai Timur. Selepas bertahun-tahun BN merancang pembangunan masa depan untuk mereka, ia berkubur dalam sekelip mata di bawah kerajaan Pakatan Harapan,” kata kenyataan itu. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.