DAP minta PH bincang kemasukan bekas MP UMNO

PUTRAJAYA – Tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menerima tujuh bekas Ahli Parlimen UMNO ke dalam parti itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, perkara itu telah dibangkitkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Pengerusi PH.

“Ini telah saya bangkitkan kepada Dr. Mahathir dan beliau bersetuju untuk diadakan mesyuarat lebih awal bagi membincangkan perkara ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Cek Kepada Sekolah Tahfiz Yang Berdaftar di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa dan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

Guan Eng yang juga Menteri Kewangan bagaimanapun tidak memberitahu bila mesyuarat terbabit akan diadakan.

Kosmo! Online semalam melaporkan enam bekas Ahli Parlimen UMNO kini sah menjadi ahli Bersatu.

Mereka ialah Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor), Datuk Mohamad Fasiah Mohd. Fakeh (Sabak Bernam), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

Kesemua mereka memutuskan untuk meninggalkan UMNO pada 14 Disember tahun lalu. -K! ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.