Permohonan surat pengesahan nikah di Selatan Thai meningkat

Spread the love

HATYAI – Pejabat Konsul Malaysia di Songkhla, Thailand, merekodkan peningkatan permohonan rakyat Malaysia untuk mendapatkan surat pengesahan pernikahan di selatan Thailand sejak 2011.

Konsul Jeneralnya, Mohd. Afandi Abu Bakar berkata, sebanyak 4,653 permohonan surat pengesahan pernikahan diterima tahun lepas berbanding 4,375 pada 2017.

Menurutnya, mengikut statistik, pejabat itu menerima 2,885 permohonan pada 2011, sebanyak 3,463 (2012), diikuti 3,485 (2013), 3,831 (2014), 4,081 (2015) dan 4,178 (2016).

Beliau ditemui pada program Persatuan Penunggang Motosikal Berkuasa Tinggi Malaysia-Thailand (MalTha Riders Association) di sini hari ini.

Mohd. Afandi berkata, majoriti permohonan melibatkan pasangan yang telah berkahwin dua atau tiga tahun dan ia diajukan mungkin atas beberapa sebab seperti keperluan mendaftarkan anak.

Kebanyakan permohonan itu, kata beliau, melibatkan perkahwinan sesama rakyat Malaysia di pejabat-pejabat agama Islam di selatan Thailand.

Permohonan surat pengesahan pernikahan itu turut diterima daripada mereka yang telah berkahwin selama 20 tahun, namun bilangannya kecil, katanya.

Beliau menasihati rakyat Malaysia supaya tidak menggunakan ejen dalam urusan pernikahan yang mungkin menjurus kepada masalah dari segi status perkahwinan kelak. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.