Ameng Spring kongsi pengalaman bergelar banduan

Spread the love

Vokalis kumpulan Spring, Ameng hari ini melancarkan buku tulisannya, Epilog Tirai Keinsafan yang menceritakan pengalamannya sepanjang menjalani hukuman penjara.

Buku setebal 102 muka surat itu ditulis Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail ketika ditahan di Penjara Kluang, Johor selepas didapati bersalah dalam kes penyalahgunaan dadah.

Ameng memberitahu, buku tersebut ditulis sejak hari pertama beliau menjalani hukuman penjara.

“Niat saya menulis sekadar untuk dijadikan rujukan supaya saya musahabah diri dan tidak mengulangi kesilapan lalu.

“Tidak sangka ada pihak berminat menerbitkannya dan saya bersetuju kerana mahu masyarakat terutama golongan muda tahu apa yang saya lalui dan tidak mengulanginya,” katanya ketika berucap sempena pelancaran buku tersebut di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Buku yang dijual dengan harga RM37 itu diterbitkan oleh pejabat penerbit Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).

Pada 2011, penyanyi ini dijatuhi hukuman penjara selama lapan tahun dengan 10 sebatan apabila didapati bersalah dalam kes penyalahgunaan dadah.

Selepas mendapat pengampunan kerana berkelakuan baik, Ameng dibebaskan pada 14 Jun 2016, kira-kira tiga tahun lebih awal daripada tempoh hukuman sepatutnya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.