#PrkRantau : PH kitar semula isu lama, tak relevan di Rantau

Spread the love

Pakatan Harapan (PH) dilihat terdesak apabila menggunakan taktik menyerang peribadi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau ketika ini.

Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Zaidy Abdul Kadir berkata, para pemimpin PH terpaksa mengitar semula isu-isu lama yang tidak lagi relevan dengan suasana politik semasa dan juga kepentingan penduduk Rantau.

“Mereka sengaja timbulkan cerita yang berlaku lama, 10 tahun dulu dan telah selesai, malah isu isytihar harta juga dibangkitkan. Tok Mat (Mohamad) sudah jawab, dia sudah isytihar harta semasa jadi MB (menteri besar), sekarang beliau bukan lagi MB.

“Isu itu sengaja direka-reka semula dan pendirian Pemuda UMNO negeri kita berdiam diri, tak mahu layan perkara ini kerana rakyat tahu menilai dan mereka menghargai jasa dan sumbangan Tok Mat selama 14 tahun mentadbir Negeri Sembilan,” katanya semasa Program Ziarah Kasih Pergerakan Pemuda UMNO di Kampung Kanchong di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan sebahagian besar pemimpin PH sejak kebelakangan ini yang menyasarkan isu peribadi Mohamad dalam ceramah-ceramah PRK DUN Rantau.

Sementara itu, Mohd. Zaidy berkata, pihaknya akan berwaspada dengan kemungkinan berlakunya pemberian sumbangan barangan dan wang oleh pihak tertentu kepada pengundi pada dua hari terakhir menjelang 13 April.

“Kita akan buat rondaan rumah ke rumah pada dua malam terakhir dan memantau sekiranya ada aktiviti seumpama itu. Kita bersedia kerana kita dimaklumkan mungkin ada ‘gula-gula manis’ yang akan diberi kepada pengundi untuk meraih undi,” ujarnya.

Beliau berkata, beberapa petugas juga telah ditugaskan untuk menghubungi pengundi yang tinggal di luar kawasan Rantau dan meminta mereka pulang menunaikan tanggungjawab pada 13 April serta memastikan kemenangan BN.

Beliau juga mengingatkan bahawa kemenangan Mohamad dalam PRK Rantau penting bagi memastikan suara rakyat dapat diwakili dalam DUN Negeri Sembilan selain berlaku semak dan imbang terhadap dasar-dasar kerajaan PH. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.