Rafiq, Ridzuan dinobat Atlet Terbaik 2018

Spread the love

Juara boling dunia, Muhammad Rafiq Ismail dan jaguh olahraga para kebangsaan, Mohamad Ridzuan Mohd Puzi masing-masing dinobatkan sebagai Atlet Terbaik dan Atlet Paralimpik Terbaik pada majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100Plus 2018, malam ini.

Kedua-dua atlet berkenaan, masing-masing membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai RM10,000 yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di sebuah hotel terkemuka di sini.

Turut berangkat ke majlis gilang-gemilang itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Pada majlis itu, SAM turut menyampaikan Anugerah Khas Sepanjang Hayat kepada Penaung Diraja SAM, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah atas sumbangan besar baginda terhadap arena sukan negara, khususnya bola sepak.

Edisi anugerah tahun ini diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-50 SAM, yang ditubuhkan pada 1969.

Dalam pada itu, Muhammad Rafiq mengetepikan saingan sengit beberapa atlet tersohor negara seperti jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang; gandingan ratu terjun Pandelela Rinong Pamg dan Cheong Jun Hoong; Amy Kwan Dict Weng (gimrama) dan Mohamad Hazim Amzad (silat).

Muhammad Rafiq melakar kejayaan cemerlang sepanjang tahun lepas dengan meraih pingat emas acara perseorangan pada Kejohanan Boling Lelaki Dunia 2018 di Hong Kong, sekali gus muncul pemain Malaysia pertama mencapai kejayaan itu dalam tempoh 39 tahun.

Sebelum itu, atlet muda berusia 22 tahun itu juga beraksi cemerlang pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 dengan memenangi satu pingat emas dan satu pingat perak, masing-masing menerusi acara Masters dan Trio Lelaki serta muncul juara kebangsaan buat kali kedua selepas 2015.

Sementara, Mohamad Ridzuan mengetepikan saingan dua lagi jaguh olahraga para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly serta Bonnie Bunyau Gustin daripada sukan powerlifting.

Atlet kelahiran Perlis itu, yang dinobat Atlet Para Lelaki Terbaik Asia 2018 oleh Majlis Paralimpik Asia baru-baru ini, melakar kejayaan membanggakan pada Sukan Para Asia di Jakarta tahun lepas, dengan menyumbang tiga pingat emas selain memperbaharui rekod dunia dan juga Asia.

Ini kali kedua Mohamad Ridzuan dinobatkan sebagai Atlet Paralimpik Terbaik selepas mengunggulinya pada 2016.

Atlet berusia 31 tahun itu turut menerima Anugerah Pilihan Peminat 100PLUS, yang memberi peluang kepada peminat sukan negara mengundi atlet pilihan masing-masing berdasarkan prestasi terbaik dipamerkan atlet sepanjang 2018.

Majlis itu turut menyaksikan wartawan Helmi Talkah dan Fabian Peter dari Berita Harian/NST dinobatkan sebagai penerima Anugerah Siebel melalui artikel ‘Badminton Dipalit Bookie’.

Dua wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Ahmad Syabil Sultan Noordin Ahmad dan Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif tercalon sebagai antara lima laporan terbaik bagi kategori Laporan Berita Permotoran Terbaik.

SENARAI PENUH PEMENANG:

Atlet Terbaik : Muhammad Rafiq Ismail (Tenpin Boling)

Atlet Paralimpik Terbaik : Mohamad Ridzuan Mohd Puzi (Olahraga)

Atlet Muda Terbaik : Muhammad Fauzi Kaman Shah (Pelayaran)

Persatuan Sukan Dinamik : Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA)

Anugerah Khas : Regu Sepak Takraw

Pemain Terbaik Liga KPM 2018 : Irfan Shahkimi Shahrizal

Anugerah Pilihan Peminat 100PLUS: Mohamad Ridzuan Mohd Puzi

Anugerah Siebel: Helmi Talkah dan Fabian Peter (BH/NST) – Badminton Dipalit Bookie

Laporan Sukan Permotoran Terbaik: Hasnida Hanim Ahmad Kamil dan Aji Saregar (TV3) – Ayah Suntik Semangat Hafizh

Laporan Berita Terbaik (Media Cetak): Helmi Talkah dan Fabian Peter (BH/NST) – Badminton Dipalit Bookie

Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik): Norsyarafina Nasrom dan Saiful Kassim (Astro Arena) – Ke Mana Laluan Atlet Para Selepas Bersara

Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak): Mohd Nizam Ali (CSN) – Sukan Asia: Adakah Realiti dan Fantasi Membezakan Transformasi dan Reformasi

Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik): Ahmad Shahrazad Sani, Norsyarafina Nasrom dan Irsyahdi Tumian (Astro Arena) – AFF

Laporan Khas Terbaik (Terbuka): Wan Norbazly Wan Azmi dan Irsyahdi Tumian (Astro Arena) – Laporan Khas: ACL-PCL Pembunuh Karier Atlet Sukan

Fotografi Sukan Terbaik: Ahmad Fadali Baharudin (Prestine Work)

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.