‘Saya terpaksa curi kerana desakan hidup’

Spread the love

“Ini kesalahan kali pertama saya tuan. Saya curi untuk keluarga atas desakan hidup dan tiada wang untuk membeli barangan tersebut.”

Itu rayuan seorang buruh sebelum dia dijatuhkan hukuman penjara 10 hari bermula hari ini selain denda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan mencuri dua paket minuman Milo dan tiga botol perkakas mandian Selasa lalu.

Ahmad Azman Osman, 42, membuat mengaku bersalah selepas pertuduhan berkenaan selesai dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd. Nasir

Mahkamah turut memerintahkan penjara selama sebulan sekiranya denda tersebut gagal dibayar tertuduh.

Berdasarkan pertuduhan dikemukakan, lelaki berkenaan didapati telah mencuri dua paket Milo dan tiga botol mandian jenama Lifebuoy bernilai RM116 milik pasar raya 99 Speedmart, Sphere Damansara, di sini, pada pukul 5.35 petang, 9 April lalu.

Mengikut fakta kes, seorang pekerja pasar raya itu telah melihat tertuduh dalam keadaan mencurigakan dan bertindak mendekati tertuduh yang kemudian terus berlari meluru keluar daripada premis tersebut.

Tertuduh kemudiannya berjaya ditahan oleh pekerja tersebut dengan bantuan orang ramai sebelum laporan kejadian itu dibuat kepada pihak polis.

Pendakwaan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid dibuat mengikut Seksyen 380 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda dan bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya hendaklah dihukum penjara dengan denda atau sebat.

Terdahulu, Amir memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dikenakan selepas serik melakukan perbuatan tersebut. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.