‘Salah makin kejam’

Spread the love

LONDON: Kemampuan penyerang Liverpool, Mohamed Salah untuk dilabel antara pemain terbaik dunia ketika ini sedikit mengejutkan bekas rakan sepasukannya di Chelsea, Ashley Cole.

Penyerang kelahiran Mesir itu tampil dengan persembahan konsisten dan muncul antara tonggak Reds sejak kembali ke kancah Liga Perdana Inggeris musim lalu.

Ketajamannya membantu skuad kendalian Jurgen Klopp merampas kembali kedudukan teratas liga susulan kemenangan 2-0 terhadap Chelsea, semalam sekali gus menambah tekanan buat penyandang juara, Manchester City.

Selepas mengharungi tempoh sukar di Stamford Bridge, Cole yang pernah beraksi bersama Salah pada 2014 ketika ditanya seakan tidak percaya dengan kemampuan bekas rakan sepasukannya itu.

“Sejujur-jujurnya, tidak. Saya melihatnya ketika latihan mengenai kemampuan yang dimilikinya tetapi dia nampaknya menjadi lebih kejam,” kata Cole.

“Saya tidak mengatakan ia sebagai perkara yang buruk seperti mementingkan diri tetapi dia mahu menjaringkan lebih banyak gol. Itu adalah tugasnya. Dia perlu menjaringkan gol.

“Dia (Salah), (Roberto) Firmino dan (Sadio) Mane bekerjasama dengan amat baik tetapi saya fikir dia sudah menjadi seperti ‘ia adalah mengenai diri saya sekarang, ini adalah masa saya’.

“Sudah cukup dia dibayangi pemain lain dan dia kini mahu menjadi pemain utama.”

Di sebalik prestasi cemerlang yang ditampilkan Salah bersama Liverpool, dia begitupun masih belum merasai kemanisan menjulang trofi sekali pun hampir melakukannya pada musim lalu. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.