Bursa Malaysia susut RM157 bilion dalam nilai pasaran sejak PRU14

Spread the love

PETALING JAYA: Permodalan pasaran Bursa Malaysia susut RM157 bilion sejak pilihan raya umum ke-14 lalu, dengan penanda aras pasaran FBM KLCI mencatatkan 1,629 mata berbanding 1,846 mata sebelum 9 Mei 2018.

Ketua penyelidik di Inter-Pacific Securities Sdn Bhd, Pong Teng Siew memberitahu FMT, satu daripada punca utama penurunan prestasi secara drastik ialah langkah penjimatan kerajaan.

Katanya, ini diburukkan lagi dengan langkah bank mengawal penciptaan kredit.

“Tindakan ketat bank menyebabkan kecairan dan penawaran wang menyusut. Ini ketara daripada pengeluaran besar dana asing daripada pasaran Malaysia.”

Satu-satunya tanda positif untuk pertumbuhan mudah tunai ialah angka lebihan dagangan berkembang yang menyumbang kepada kecairan dagangan.

Pong berkata, antara cabaran besar bagi kerajaan ketika ini ialah tahap hutang yang perlu ditanganinya.

Beliau berkata, pembiayaan luar kunci kira-kira dilaksanakan kerajaan tidak muncul dalam angka hutang rasmi.

Katanya, kerajaan tidak salah dalam meletakkan hutang negara pada paras RM1 trilion kerana ia mengambil kira pembiayaan akaun luar kunci kira-kira, termasuk inisiatif pembiayaan swasta (PFI).

PFI ialah pinjaman diambil sektor swasta bagi pihak kerajaan, di mana kerajaan membayar keuntungan dan kosnya. Ia boleh diklasifikasikan sebagai hutang tertunda kerana kerajaan tidak dikehendaki membayarnya serta-merta.

Ketua strategi Phillip Capital Bhd, Phua Lee Kerk memberitahu FMT impak paling besar ke atas penyusutan nilai pasaran ialah kehilangan kekayaan bagi pelabur.

Katanya, ini akan menjejaskan kadar penggunaan kerana kekayaan mereka berkurangan secara ketara.

“Agak biasa untuk negara membangun menyaksikan kemerosotan dalam pasaran mereka apabila berlaku pertukaran kerajaan. Ini disebabkan pelabur akan mengambil pendekatan tunggu dan lihat untuk menilai dasar kerajaan baru. Mereka tidak memasuki pasaran.”

Katanya, kerajaan baru perlu diberi masa 2 tahun sebelum penilaian “bermakna” boleh dilakukan mengenai dasar ekonomi mereka.

Semalam, Bloomberg melaporkan prestasi pasaran Malaysia tahun ini antara terburuk di dunia.

FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.